SYDNEY: Kes positif COVID-19 akibat varian baharu Omicron meningkat satu lagi menjadi tujuh kes hari ini di Australia.
Perkembangan itu mendorong kerajaan negeri memperketatkan kawalan sempadan domestik sementara pakar kesihatan masih menunggu maklumat lanjut mengenai bahaya dikaitkan dengan strain berkenaan.
Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales (NSW), dilapor merekodkan kes ketujuh membabitkan seorang individu yang tiba pada 23 November lalu dari Doha, Qatar.
Difahamkan, individu itu tidak pernah berkunjung ke negara selatan Afrika dan dipercayai mungkin dijangkiti virus ketika dalam penerbangan.
Kerajaan Persekutuan sudah mengarahkan kesemua negeri untuk mengelak pelaksanaan 'buka tutup' perintah berkurung sebagai tindak balas terhadap kemunculan varian baharu itu.
Menteri Kesihatan NSW, Brad Hazzard, berkata pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan arahan supaya kekal waspada sehingga mereka mengetahui lebih lanjut mengenai kebolehjangkitan dan bahaya Omicron.
"Kami tahu virus ini berbahaya dan ia datang dalam beberapa bentuk berbeza, jangan sesekali mengambil mudah perkara ini," tegasnya.
Bandar terbesar Australia, Sydney pula sudah hampir empat bulan 'bebas' daripada pelaksanaan perintah berkurung bagi mengekang penularan varian Delta pada awal Oktober lalu.
Negeri itu secara berperingkat melonggarkan sekatan memandangkan kadar vaksinasi semakin meningkat.
Bagaimanapun, ada kerajaan negeri lain mengetatkan sekatan membabitkan perjalanan rentas negeri.
Kerajaan Australia Selatan yang tidak merekodkan kes Omicron berkata pihaknya akan menjalankan ujian saringan COVID-19 bagi pengembara yang tiba dari NSW.
Kerajaan negeri pulau mesra pelancongan, Tasmania, memaklumkan pada minggu ini pihaknya akan melarang kebanyakan ketibaan dari luar.
Langkah itu bertentangan dengan apa ditentukan kerajaan Persekutuan untuk membenarkan warga Australia yang sudah divaksin ke negeri itu jika menjalani kuarantin di rumah.
Australia juga terpaksa menangguhkan rancangannya untuk membuka sempadan negara itu selama dua minggu bagi kemasukan migran berkemahiran dan pelajar asing.
Bagaimanapun, rakyat yang pulang dari negara selatan Afrika wajib menjalani perintah kuarantin selama dua minggu di hotel.
Australia menutup sempadan antarabangsanya dan mengenakan sekatan ketat terhadap pergerakan domestik bagi membantu mengelakkan berlaku lonjakan kes kematian akibat COVID-19, seperti mana di negara lain.
Kira-kira 212,000 kes jangkitan dan 2,000 kematian direkodkan akibat coronavirus di Australia. - BH
No comments
Post a Comment