NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jika luka terhadap Bersatu ‘besar sangat’, kenapa sertai kerajaan Muhyiddin - Fadhli Shaari

Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda PAS

Umno tidak patut menggunakan keanggotaan Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menghalang parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu menyertai Muafakat Nasional (MN), kata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

“Jika luka kerana Bersatu menjadi sebahagian daripada PH itu sangatlah besar untuk dilupakan, kenapakah Umno sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin ketika itu?,” soalnya.

Fadhli berkata, Umno dan Bersatu perlu melupakan permusuhan mereka kerana “jika masing-masing membelek kronologi demi kronologi, sampai bila pun kita tidak akan bersepakat”.

Beliau berkata, Umno dan PAS telah bersepakat untuk menjemput Bersatu ke dalam MN sebelum ini dan PAS pula tidak bermasalah turut menerima masuk PKR, Amanah, Putra dan Pejuang dalam MN dengan syarat tertentu.

“Tiada sebarang masalah untuk mengajak parti-parti (tertentu ini) untuk bersama MN. Asal saja mereka sudi memutuskan hubungan dengan DAP yang dilihat menjadi tulang belakang sebenar dalam Pakatan Harapan.

“Soalnya, sanggupkah mereka? Tidak ada sesiapa pun dalam PAS akan tersinggung jika pihak ini tiba-tiba memohon untuk menyertai MN apabila mereka bermufarakah dengan DAP,” katanya mengulangi pendirian parti itu untuk meluaskan keanggotaan MN.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan menolak ketegasan Hadi mahukan Umno menerima masuk Bersatu dalam MN.

Zahid hari ini dilihat mengaitkan tindakan Presiden PAS mempersoalkan keikhlasan Umno menjayakan MN sebagai “alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik”.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih, bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah,” kata Zahid.

Sebelum ini, Mohamad yang juga dikenali Tok Mat berkata PAS tentunya arif mengenai keputusan perwakilan Perhimpunan Agung Umno lalu bahawa parti itu tidak akan membentuk sebarang kerjasama politik dengan Bersatu.

“Umno terikat dengan pendirian ini. Jadi, amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” katanya.

Beliau berkata, Umno juga berpendirian walaupun PKR, Amanah atau Pejuang adalah sebahagian daripada ummah yang berkepentingan, Umno tidak pernah mempelawa mereka untuk menyertai MN kerana tidak mahu menyakiti hati PAS.

Fadli yakin respons Mohamad tidak berdasarkan konteks sebenar kenyataan Hadi mengenai isu berkenaan.

“Kenyataan Presiden PAS yang dikeluarkan dalam sidang media…langsung tidak bernada menolak MN seperti yang ditulis oleh media. Bahkan ia lebih kepada mengajak Umno untuk kembali duduk semeja berbincang bagaimana untuk memperkasakan Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak berlaku perdamaian antara Umno dan Bersatu yang menunjangi Perikatan Nasional, kemungkinan besar Pakatan Harapan akan menawan semula Putrajaya pada PRU15.

“Hakikatnya, tiada jalan keluar melainkan muafakat. Jika tidak ingin Pakatan Harapan berkuasa kembali, hanya muafakat sebagai jalan keluar. Atau kita perlukan satu lagi pengajaran di dalam PRU15 barulah kita sedar kepentingan muafakat,” katanya.

- FMT

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo