Pemberian dos penggalak disifatkan penting susulan berlaku beberapa peningkatan dalam kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU dan biasa membabitkan kategori tiga hingga lima, baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR: Hospital swasta di negara ini bersedia membantu kerajaan meningkatkan pemberian vaksin penggalak untuk orang ramai bagi perlindungan tambahan daripada COVID-19 khususnya, varian Omicron.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata pemberian dos penggalak disifatkan penting susulan pihaknya merekodkan beberapa peningkatan, baru-baru ini dalam kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) dan wad biasa membabitkan kategori tiga hingga lima.
"Bagaimanapun, jumlah kemasukan tidaklah membimbangkan seperti beberapa bulan lalu namun garis panduan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan maklumat daripada badan antarabangsa mesti dipatuhi.
"Ini kerana tidak mustahil boleh berlakunya gelombang baharu jangkitan dan kita harus berhati-hati dengan varian Omicron pada masa ini.
"Untuk itu, kami akan bekerjasama dengan KKM dan ProtectHealth berdasarkan mana-mana arahan supaya boleh membantu menyelesaikan proses vaksinasi penggalak dengan apa sahaja sumber yang kami ada di hospital swasta," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, suntikan dos penggalak akan menjadi syarat bagi seseorang dikategorikan sebagai lengkap vaksin bermula Februari tahun depan dan untuk terus menikmati kemudahan serta kelonggaran yang diberikan.
Pada masa sama, Dr Kuljit berkata, terdapat banyak hospital swasta di negara ini yang menyediakan perkhidmatan kepada warganegara dan individu luar dalam suntikan dos penggalak berdasarkan janji temu yang ditetapkan oleh MySejahtera.
Beliau berkata, ia berjalan dengan lancar sebelum ini terutama membabitkan kerjasama daripada individu yang berusia 60 tahun ke atas.
"Namun terdapat kebimbangan kerana ada yang tidak hadir untuk vaksin penggalak dengan pelbagai sebab.
"Justeru kami menggesa orang ramai untuk mendapatkan dos penggalak mereka di hospital swasta tertentu seperti yang disenaraikan dalam MySejahtera.
"Perkhidmatan yang disediakan hospital swasta untuk pemberian dos penggalak adalah percuma dan ini adalah usaha kami untuk membantu kerajaan," katanya.
Beliau berkata, sejak tahun lalu, hospital swasta menyediakan ventilator kepada hospital kerajaan dan mula merawat pesakit COVID-19 selain mengambil bahagaian dalam program vaksinasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Kami akan terus berusaha dan bekerja bersama kerajaan dalam pandemik ini kerana ia banyak memberikan manfaat termasuk kepada pesakit," katanya. -BH
No comments
Post a Comment