Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai Pengerusi TH yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH mengalu-alukan pelantikan ini dan bersyukur kerana menerima tokoh yang disegani dan berpengalaman khususnya dalam aspek pelaburan dan transformasi GLC ketika beliau menerajui Khazanah Nasional Berhad dari tahun 2004 hingga 2018.
"Di kala negara masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik, kami yakin dengan pengalaman, dedikasi dan kepimpinan beliau, TH akan terus dipacu untuk kecemerlangan masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam usaha untuk terus mengukuhkan dan memastikan kemampanan TH, pelbagai aspek transformasi sedang dan bakal dilaksanakan dengan pemfokusan kepada aspek pentadbiran dana simpanan haji dan penambahbaikan pengurusan haji.
"Ini penting bagi TH untuk terus kekal relevan sebagai satu-satunya pengurus haji negara untuk tahun-tahun mendatang.
"Pelantikan Tan Sri Azman juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji," katanya.
Antara pelantikan beliau yang terkini termasuk sebagai Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pengerusi International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF) dan ahli Majlis Pemulihan Negara.
Selain daripada Khazanah, beliau pernah menjadi antara pemangkin utama beberapa organisasi korporat negara seperti Axiata Group Berhad, Iskandar Investment Berhad dan IHH Healthcare Berhad.
Beliau juga adalah pemegang Master of Philosophy in Development Studies dari Darwin College, Cambridge University dan Diploma di dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu juga, beliau adalah akauntan bertauliah Fellow of the Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Financial Analyst (CFA).
Beliau turut berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perniagaan dan ekonomi selain berkredibiliti tinggi
khususnya dalam komuniti perniagaan di Malaysia dan di peringkat global.
TH akan meneruskan komitmennya bagi memastikan aspek kemampanan dan kelestariannya dengan menyediakan Pelan Strategik untuk menyokong usaha transformasi TH yang akan memacu organisasi ke hadapan.
Pelan Hijrah24 akan didorong oleh lima teras utama dan disokong oleh 24 inisiatif strategik yang akan bermula pada bulan hadapan.
Pada masa sama, TH akan terus memberi kerjasama berhubung siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dijalankan.
Ini sekaligus dapat mengukuhkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi TH dan pendepositnya, selain menguatkan operasi dan kecekapan, serta memberi keuntungan dan pulangan yang mampan kepada pendeposit.
Kesemua inisiatif ini akan memastikan TH kekal lestari hingga ke masa hadapan.
TH turut berterima kasih kepada Tan Sri Md Nor Yusof sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH.
Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 10 Julai 2018, beliau juga berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Jun 2021 sebanyak RM81.41 billion, rekod tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment