NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sarawak mengundi 18 Disember depan


oleh; Saibi Gi, Patricia Gari dan Jessica Jawing

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang berkata demikian menambah, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember 2021, manakala pengundian awal ialah pada 14 Disember 2021

Ketetapan ini dimaklumkannya menerusi sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRN Sarawak di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan bagi PRN kali ini tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember 2021 (Isnin) sehingga pukul 11.59 malam, 17 Disember 2021 (Jumaat).

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri yang ke-11 pada 3 November 2021.

"Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-12 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN tersebut berikutan berlakunya pembubaran DUN Sarawak ke-11 pada 3 November 2021," jelasnya.

PRN ke-12 Sarawak sepatutnya diadakan lebih awal berikutan tamatnya tempoh DUN pada 6 Jun lalu bagaimanapun disebabkan pengisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu ia tidak dapat diadakan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanapun pada 3 November 2021 Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menamatkan Proklamasi Darurat Negeri Sarawak yang menyaksikan DUN Sarawak terbubar secara automatik.

Ini secara langsung memberi laluan kepada PRN12 diadakan iaitu mesti dalam tempoh 60 daripada tarikh Proklamasi Darurat ditamatkan.

Sementara itu, Abdul Ghani menerusi satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2021/11/24/sarawak-mengundi-18-disember-depan?
............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo