Kota Bharu: Kerajaan menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat sehingga 50 peratus, berikutan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik kepada 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ia dijangkakan membabitkan kos lebih RM30,000, berbanding sebelum ini RM23,000.
Bagaimanapun katanya, jumlah tepat yang akan diputuskan itu akan diketahui awal tahun hadapan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.
"Selain peningkatan VAT, kos turut meningkat disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu susulan pandemik Covid-19.
"Sebagaimana kita tegaskan sebelum ini, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada jumlah kos, namun kita belum putuskan berapa banyak yang akan ditanggung.
"Jika sebelum ini kos mengerjakan haji adalah RM23,000, namun kita hanya mengenakan RM9,980 daripada jemaah dan jumlah itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.
"Pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya bakal jemaah yang mampu dapat membayar penuh kos berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun depan.
Beliau berkata, pihaknya akur dengan segala keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada mengekalkan kuota sedia ada iaitu 30,000 jemaah atau dikurangkan.
"Kita perlu terima apa sahaja kemungkinan disebabkan Covid-19. Namun melihat kepada situasi semasa penurunan kes Covid-19 di negara berkenaan, kita mengharapkan jumlah kuota itu dapat dikekalkan atau ditambah," katanya. - Harian Metro
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment