KOTA KINABALU: Semua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setuju untuk meneruskan kerjasama dalam tempoh lima tahun sebagai kerajaan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, landskap politik yang unik di negeri ini menjadi sandaran untuk semua parti dalam GRS terus bersatu.
Beliau turut sedar, kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebelum ini berhubung kesediaan UMNO untuk menentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi menjawab kenyataan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas.
Hajiji yang juga Ketua BERSATU Sabah menjelaskan, kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin itu berdasarkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai pendirian UMNO yang akan mempertahankan dan tidak berkompromi untuk Kerusi Parlimen dan negeri yang dimenangi parti itu pada PRU lepas.
"Tetapi dalam konteks politik Sabah yang sangat unik, situasi seperti ini berbeza dengan keadaan politik di Semenanjung.
"Bagi negeri ini, kita akan berbincang dengan semua parti komponen dalam GRS secara baik bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi PRU akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Malah katanya, Muhyiddin sendiri mengakui keunikan landskap politik Sabah dan menyerahkan kepada GRS untuk membincangkan perkara itu.
"Apa yang penting sejak awal lagi GRS kekal dengan pendirian untuk bekerjasama serta menghormati amanah yang diberikan oleh rakyat.
"Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk melaksanakan agenda pembangunan Sabah termasuk menguruskan pandemik COVID-19 dan pada masa sama fokus kepada usaha pemulihan ekonomi.
"Ketepikan soal politik dan terus fokus," katanya.
Sebelum ini, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri dipetik berkata, UMNO Sabah bersedia untuk menghadapi bukan sahaja BERSATU, malah mana-mana parti dalam GRS pada PRU akan datang.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, UMNO juga bersedia untuk bertanding di semua Kerusi yang mereka menangi termasuk yang kawasan yang merekodkan kekalahan UMNO.
GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), PAS, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), serta Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
............oo000oo...........
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment