NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RMK12 dan Formula Menambah Nilai – Syahir Sulaiman

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy. (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka pada musim sejuk dan pada musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah ini (Ka’bah). (Dialah) Tuhan yang memberikan mereka penghidupan; menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan” (Surah Quraisy: 1-4)

Pedoman wahyu.

Surah ini diturunkan di Mekah, dinamakan surah “Quraisy” (Kaum Quraisy) kerana pada keseluruhan surah ini, Allah SWT menerangkan perihal kaum arab – suku Quraisy, penduduk Mekah. Ianya mengingatkan kaum Quraisy secara khusus dan umat manusia secara umum supaya tunduk taat memperhambakan diri kepada Allah SWT, terutama dalam keadaan mereka hidup senang lenang lagi aman tenteram, supaya keadaan itu kekal dan bertambah-tambah.

Terdapat pengkaji politik dan ekonomi Islam yang mengembangkan intipati daripada Surah ini dengan meletakkan tiga (3) asas ketamadunan dan kerukunan hidup sesebuah masyarakat atau negara, iaitu:

1. Mematuhi suruhan dan perintah Allah (menyeru yang makruf, mencegah kemungkaran);
2. Menyelamatkan dari kelaparan (memakmurkan ekonomi, pertanian, perusahaan, pendidikan, peluang pekerjaan); dan
3. Mengamankan dari ketakutan (kedaulatan undang-undang, penjagaan kesihatan, kebajikan).

Malaysia negara bertuah.

Malaysia adalah sebuah bumi yang bertuah, dilimpahi kekayaan sumber alam dan hasil pertanian, sarat dengan sumber mineral, petroleum dan komoditi, serta kepesatan sektor perkilangan dan industri. Malaysia turut dikurniakan keunikan sumber manusia, kemajmukan etnik dan budaya, serta tahap pendidikan dan kepakaran berpotensi tinggi.

Kedudukan negara di tengah laluan perdagangan timur dan barat pula menjadikan Malaysia mempunyai peranan strategik di pentas geopolitik serantau (ASEAN), ummah (OIC) dan antarabangsa (PBB).

Semuanya menjadikan Malaysia memiliki ‘ramuan’ tersendiri untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan membolehkan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, melalui wawasan dan perancangan yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, melalui pendekatan ‘menambah-nilai’ terhadap kekayaan sumber, keupayaan (capacity), keunikan (niche) dan kelebihan dayasaing (competitive advantage) yang dimiliki Malaysia.

Pemulihan pasca pandemik.

Secara umumnya, Malaysia telah kehilangan ‘produktiviti’ hampir dua tahun akibat penularan pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 2020, di samping kehilangan ‘fokus’ akibat kemelut politik yang tidak berkesudahan, sehingga menjejaskan trajektori pertumbuhan sosioekonomi dan dayasaing negara.

Mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi serta keperluan menangani permasalahan semasa, RMK12 dirangka bagi mencapai objektif “Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan” dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memacu keupayaan ke arah teknologi tinggi dan pendapatan tinggi, memastikan kemakmuran negara dikongsi secara lebih saksama, serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. 

Memetik ucapan YAB Perdana Menteri,

“RMK12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Bagi tujuan ini, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMK12. Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau ‘whole-of-nation approach’ yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan”.

Formula menambah nilai.

Secara umumnya terdapat empat (4) formula TAMBAH-NILAI yang perlu diberikan perhatian dalam merealisasikan segala hasrat dan perancangan RMK12 oleh semua pihak berkepentingan.

Pertamanya, menambah-nilai melalui PENGURANGAN (reduce / eliminate).

Ini termasuklah komitmen Kerajaan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan pertindihan fungsi agensi, mengurangkan kebergantungan buruh kurang mahir dan buruh asing, membasmi kemiskinan tegar, mengurangkan jurang pendapatan rakyat, mengurangkan jurang pembangunan negeri dan wilayah, mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45%, mengurangkan pencemaran dan penjanaan sisa, mengurangkan kerugian harta benda akibat bencana, mengurangkan tahap air tidak berhasil (NRW), serta akujanji Pelan Antirasuah Nasional untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah.

Keduanya, menambah-nilai melalui PENAMBAHAN (increase / raise).

Ini dapat dilihat pada komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kualiti guru dan prasarana di sekolah & IPT, menangani isu ketidakpadanan graduan dan pekerjaan, meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan, meningkatkan kesiapsiagaan hospital, meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah, meningkatkan kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40, serta menambah baik rangkaian 4G dan mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara.

Selain itu, Kerajaan komited untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, menyasarkan perkhidmatan dalam talian meningkat kepada 80 peratus pada tahun 2025, menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkatkan ketenteraman awam, menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera, meningkatkan keupayaan pemilikan hartanah dan ekuiti Bumiputera, meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan, serta mensasarkan peningkatan perolehan hijau Kerajaan kepada 25 peratus pada tahun 2025.

Ketiganya, menambah-nilai melalui PENGGANDAAN (multiply / grow).

Kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaburan baharu berteknologi tinggi, melonjakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi (R&D-i), menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi, menghadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah, dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

Selaras dengan perkembangan IR4.0, sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai tinggi. Sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara, manakala sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi ‘augmented reality’ dan ‘virtual reality’. Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat, dan sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan menjelang 2025.

Keempatnya, menambah-nilai melalui PEMBAHAGIAN (divide / sharing).

Ini termasuklah komitmen Kerajaan untuk memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama. Bagi melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut.

Selain itu, dana mudahcara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam-Swasta (PPP), tanpa melibatkan komitmen kewangan Kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP). Rangka dasar tadbir urus Data Nasional juga akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang
lebih meluas. Sebuah pangkalan data bersepadu akan diwujudkan bagi menyelaras semua program, bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan.

Segalanya berpandukan kepada ‘pendekatan keseluruhan negara’ (whole-of-nation approach) dan dasar Kerajaan yang lebih inklusif, termasuklah kejayaan memeterai persefahaman dengan blok pembangkang dalam aspek transformasi dan kestabilan politik, serta komitmen Kerajaan untuk mendengar dan memberikan ruang demokrasi yang lebih luas kepada anak muda, khususnya pelaksanaan #Undi18.

Pemulihan dengan pembaharuan.

Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan limpahan berganda (multiplier-effect) bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan dayasaing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama (shared prosperity).

Selain itu, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi (economic reforms). Inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio-ekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar. Dengan izin, “Recovery without reforms is a waste”.

RMK12, inilah masanya untuk peralihan dan pembaharuan. 

Syahir Sulaiman
Setiausaha Politik Presiden PAS
1 Oktober 2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo