20 SEPT: Siasatan perlu dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat campur tangan politik berhubung bantahan cadangan pembinaan kuil atas tapak pembinaan masjid yang dikatakan hak milik Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAHEINS).
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, JAHEINS perlu segera memberikan penjelasan tentang status pemilikan tanah yang sebenar.
Beliau berkata, sekiranya benar dakwaan tanah itu milik JAHEINS, maka ada sesuatu yang tidak kena sekiranya kelulusan cadangan membina kuil itu berlaku.
“Harapnya tiadalah tangan-tangan politik yang mengatur di belakang tabir kerana jika diikutkan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Sekiranya terdapat sebarang kepincangan dalam isu ini, saya harap pihak berkuasa terutamanya SPRM dan PDRM dapat menyiasat dengan segera sebelum ada apa-apa yang tidak diingini berlaku.
“Jika ada orang politik yang terlibat, maka seretlah segera ke muka pengadilan. Kita mahu lihat siapakah yang sanggup mempertaruhkan agama dan keharmonian masyarakat demi habuan duniawi itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Aminuddin mendakwa, Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru berserta penduduk-penduduk Taman Indah Baru, Taman Clonee 2 dan Bandar Utama Tampin masing-masing tidak bersetuju dan telah menghantar memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan.
“Memorandum bantahan itu dihantar kepada ADUN kawasan Repah S. Veerapan pada 11 September lepas.
“Berdasarkan memorandum, tanah tersebut difahamkan merupakan hak milik JAHEINS,” katanya.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment