27 SEPT: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi bayangan bahawa rakyat Malaysia mungkin akan dibenarkan merentas negeri, mulai pertengahan bulan depan.
Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri berkata MPN akan mencadangkan kebenaran merentas negeri pada pertengahan bulan depan, jika kadar pelalian terhadap COVID-19 mencapai 90 peratus penduduk dewasa.
Ahli Parlimen Pagoh berkenaan berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh menteri terbabit untuk dibincangkan lagi minggu ini, termasuk membuka semula sempadan negara, yang ditutup sejak Mac tahun lalu.
Beliau berkata, cadangan itu juga akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan mengumumkan keputusan itu dalam masa terdekat.
“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.
“Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.
“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu Muhiyiddin berkata, beberapa kementerian akan meneliti kewajaran membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment