KEPUTUSAN Lembaga rayuan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) jelas iaitu Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dibatalkan ekoran rayuan yang dibuat oleh Tuan Haji Zakaria Ismail mewakili pihak Nelayan.
Maka sewajarnya kerajaan negeri perlu akur dengan keputusan itu dan bertindak membatalkan hasrat mewujudkan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) itu. Hal ini perlu kerana perkara ini tidak menjadi teka-teki dan menggusarkan para nelayan.
Pihak kerajaan negeri tidak perlu buang masa dengannya. Sebaliknya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas yang menjadi isu utama. Fokus sepatutnya diberikan dari awal lagi untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Adalah maklum bahawa Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) atau Penang Transport Master Plan (PTMP) itu tujuannya adalah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas yang teruk itu.
Sepatutnya tiada pelencongan yang menimbulkan kontroversi selama ini. Kerajaan negeri mesti membuat pindaan dan menilai kembali PTMP versi SRS supaya projek itu membawa manfaat kepada rakyat dan juga dapat memulihara alam sekitar.
Apa yang kita lihat, PTMP yang dikemukakan oleh Konsultan Halcrow terdahulu perlu diteliti semula kerana ianya dikemukakan oleh pakar yang berkaitan dalam bidang tersebut dan pihak lain yang mempunyai kepakaran serta pelbagai agensi kerajaan, NGO dan komuniti masyarakat tempatan yang terlibat.
Insiden yang berlaku selama ini menunjukkan kerajaan negeri pimpinan DAP ini tidak peduli mengenai perubahan projek sehinggakan terjadi pengusiran rakyat sendiri secara terhormat berpindah ke tempat lain, warisan budaya khazanah seperti perkampungan dan tempat sejarah akan lenyap. Laluan aliran transit ringan (LRT) yang dicadangkan melalui beberapa masjid seperti Masjid Jamek Sungai Nibong, Masjid Sungai Ara, Masjid Sungai Tiram bakal menyebabkan gangguan.
Kedatangan orang luar ditatang dengan projek rumah mewah sedangkan rakyat sendiri terpaksa membawa diri kerana tidak mampu hendak beli. Projek-projek sakit yang diteruskan juga memangsakan pembeli seumpama yang berlaku kepada pembeli pangsapuri Taman Terubung Indah yang kehilangan rumah setelah projek tersebut siap.
Begitu juga insiden yang ditanggung oleh pembeli rumah di Bandar Baru Air Putih yang berubah pemaju sehingga tapak masjid tidak diserahkan kepada MAIPP apabila termasuk disandarkan kepada pihak bank seperti dilaporkan oleh Exco Agama Islam dalam jawapan bertulis sempena persidangan baru-baru ini.
Pihak pemaju dibantu sedangkan rakyat sendiri menjadi buntu dengan pelbagai masalah birokrasi.
Dalam hal PSR, kita lihat bagaimana nelayan dikesampingkan dan cuba dimanipulasi dengan pelbagai tawaran. Slogan negeri bersih hijau hanya retorik dan bombastik sahaja apabila mereka tidak menghiraukan bantahan berhubung kerosakan alam sekitar. Demi kepentingan dan kerakusan, mereka sanggup membelakangkan undang-undang.
Rentetan pelbagai masalah tersebut, maka moral mereka jatuh dan kegagalan terang lagi bersuluh.
USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment