Ahli pendidikan mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membuka semula sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober depan, mengatakan ia adalah penting bagi menyesuaikan semula murid-murid terutama mereka yang kurang bernasib dan sangat terkesan selepas beberapa bulan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berjalan hampir sepanjang tahun, kata pakar.
Meskipun keputusan itu mendapat reaksi berbeza daripada ibu bapa dan lain-lain pemegang taruh, bekas ketua pengarah pelajaran Abd Ghafar Mahmud berkata pembukaan sekolah itu wajar untuk membolehkan murid-murid yang kurang bernasib baik mengejar semula pelajaran terutamanya bagi murid luar bandar, murid B40 dan murid berkeperluan khas.
Katanya, semua golongan itu menghadapi cabaran yang lebih besar daripada murid-murid biasa dalam menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak setahun lepas.
“Murid-murid yang ingin belajar tidak dapat berbuat demikian sepenuhnya kerana isu-isu seperti rangkaian internet, gajet dan keupayaan murid berhubung PdPR,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Mereka sudah ketinggalan jauh berbanding murid-murid yang ada kemudahan.”
Ghafar mengulas keputusan kerajaan untuk membuka sekolah secara berperingkat pada 3 Oktober ini.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada Ahad mengumumkan pembukaan sekolah untuk negeri-negeri dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Radzi berkata, bagi negeri Fasa Satu, semua institusi pendidikan masih ditutup dan PdPR dijalankan sepenuhnya.
Hanya murid-murid peperiksaan di negeri Fasa Dua dibenarkan untuk kembali ke sekolah.
Bagi Fasa Tiga dan Empat, semua institusi pendidikan dibuka namun tertakluk kepada penilaian risiko semasa.
Katanya, bagi mereka yang dibenarkan ke sekolah, kapasiti 50% ditetapkan untuk setiap kelas, manakala kehadiran ke kelas di institusi-institusi tertentu dijalankan secara penggiliran.
Radzi juga memaklumkan ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah dibenarkan berbuat demikian namun harus menulis surat kepada sekolah.
Antara kemudahan lain termasuklah membenarkan murid ke sekolah tanpa uniform selain membekalkan pelitup muka kepada murid-murid B40.
Menurut Ghafar, ketika kes Covid-19 harian masih berada pada nilai 19,000 hingga 20,000, kerajaan tidak boleh terlalu ke hadapan dalam membuka sekolah.
“Berdasarkan jumlah kes, kelas perlu diadakan secara berhati-hati.
“Cara menteri itu pun sebenarnya sudah cukup konservatif,” katanya.
Tambah beliau, selain isu murid, guru-guru juga tertekan dengan PdPR.
Katanya, lebih buruk lagi apabila ada ibu bapa yang menuduh guru makan gaji buta apabila PDPR dilaksanakan.
“Kita latih semua guru dengan situasi bersemuka atau face-to-face. Kemahiran mengajar online rata-ratanya dipelajari sendiri.
“Dalam PdPR, isu utamanya ialah penilaian murid-murid. Banyak kekurangan dalam aspek penilaian murid terjadi apabila kelas dijalankan secara online.”
Sementara Pengerusi Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Sukimin Juki berkata, ibu bapa mempunyai fleksibiliti yang secukupnya untuk membuat keputusan sama ada ingin menghantar anak ke sekolah atau sebaliknya.
“Kita lihat di kawasan tumpuan pada hujung minggu lepas, ramai yang bercuti. Tiada siapa bangkitkan (pematuhan kepada SOP), padahal tiada penjarakan sosial di kawasan-kawasan seperti itu berbanding di sekolah.
“Di sekolah memang orang suka sensasikan, tapi ia tidak terus berbanding kawasan luar sana,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, SOP dan langkah-langkah keselamatan sudah ditetapkan kementerian bagi menjamin kesihatan murid pada tahap maksimum.
Sukimin memberitahu, sekolahnya di Kajang, Selangor yang akan dibuka untuk murid berkeperluan khas pada 3 Oktober nanti sedang menjalani persiapan pembukaan sekolah.
Mengenai murid keperluan khas, katanya kerajaan tidak boleh lagi membuang masa dengan tidak mendidik mereka.
“Pada usia-usia sebegini, penting untuk kita terus memberi pendidikan, perkembangan dan pengurusan kognitif untuk golongan itu,” katanya.
https://www.malaysianow.com/berita/2021/09/14/pengumuman-buka-semula-sekolah-langkah-wajar-kata-pakar/
https://www.malaysianow.com/berita/2021/09/14/pengumuman-buka-semula-sekolah-langkah-wajar-kata-pakar/
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment