Tan Sri Muhyiddin Yassin |
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
Muhyiddin berkata, beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, ia termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.
"Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
"Kepercayaan diberikan kerajaan ini suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19" katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan jemaah menteri pada mesyuaratnya 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikannya.
Beliau turut berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikannya.
"Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup serta memulihkan negara akan mencapai kejayaan," katanya.
- BH
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment