NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meluaskan ufuk berwakaf dalam masyarakat



Oleh Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid

SEMUA agama menggalakkan nilai hidup yang mulia ialah berkongsi manfaat sesama manusia. Adakala kebaikan itu dalam bentuk wang, harta, makanan, minuman dan sumber tenaga. Ianya tidaklah seharusnya dibataskan pada perkara material sahaja malah merangkumi kebaikan dalam bentuk idea, cadangan penyelesaian, pengalaman, kepakaran dan ilmu pengetahuan. Perkongsian kebaikan dalam Islam diberi nama khusus iaitu wakaf.

Secara umumnya, pengertian wakaf mengandungi dua unsur utama (1) menjadikan sumber kebaikan (harta atau sebagainya) milik awam, (2) memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan. Oleh kerana harta sering menjadi tumpuan dalam memberi wakaf, terbentuk satu kefahaman yang tidak disengajakan bahawa hanya harta sahaja yang boleh diwakafkan.

Terdapat banyak hadith Baginda yang menjadi sandaran kepada sumbangan wakaf dalam Islam, antaranya ialah hadith “apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah peluang melakukan kebaikan melainkan tiga; (1) sedekah jariah, (2) anak soleh yang mendoakannya dan (3) ilmu yang dimanfaatkan”. (Riwayat Muslim).

Walaupun para ulama menyatakan makna sedekah jariah dalam hadith tersebut adalah mewakafkan harta untuk kemanfaatan umum, namun pengertian anak soleh dan ilmu itu tidak harus disempitkan pada makna yang terbatas, seharusnya kedua-dua makna tersebut dikaitkan juga dalam pengertian wakaf.

Imam al-Sayuti menyenaraikan makna wakaf dalam 10 bentuk dan terdapat juga hadith-hadith lain yang menyokong pandangan Imam al-Sayuti itu selain dari menyenaraikan bentuk lain lagi yang menjadikan bentuk wakaf itu meluas dan berbagai.

10 perkara yang dinyatakan oleh Imam al-Sayuti ialah; (1) ilmu yang disebarkan sama ada melalui ceramah, kelas atau penulisan buku, (2) doa yang dihadiahkan kepada si mati lantaran kerana mengenang jasa si mati semasa hidup, (3) menanam pokok, (4) bantuan kebajikan, (5) mengagihkan mushaf al-Quran, (6) menyediakan bantuan perang, (7) mengali perigi, (8) mengalirkan sungai, (9) membina rumah tumpangan dan (10) membina sekolah atau tempat belajar al-Quran.

Melihat kepada 10 perkara yang dinyatakan oleh Imam al-Sayuti, ruang untuk berwakaf adalah luas dan pelbagai. Dengan membataskan pengajaran ilmu kepada masyarakat hanya pada ilmu agama sahaja akan menyebabkan banyak tenaga dan kepakaran yang dimiliki oleh umat Islam disia-siakan kerana ilmu yang dapat membantu masyarakat miskin dan jahil untuk kehidupan mereka bukanlah ilmu agama sahaja.

Bayangkan ramai guru-guru, peguam, akauntan, perunding dan sebagainya yang telah pencen dari pekerjaan rasmi hanya mendiamkan diri dan mengisi ruang masjid untuk beribadah sendirian kepada Allah kerana ilmu mereka terdapat anggapan bahawa ilmu dan kepakaran mereka tidak dianggap sebagai ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang ada pada mereka jika diertikan juga sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat maka pastinya mereka masih dapat ikut bersama mewakafkan tenaga serta pengalaman untuk menyebarluaskan ilmu yang diperlukan dalam kehidupan.

Selain dari mereka di atas, ramai para profesional lain seperti doktor perubatan dapat mewakafkan tenaga dan pengalaman mereka untuk membantu masyarakat miskin. Pengalaman saya di Pakistan memperlihatkan ramai para doktor muda atau yang telah bersara ikut serta dalam mewakafkan sebahagian masa mereka untuk memberi khidmat nasihat perubatan secara percuma di klinik kebajikan yang terdapat di kebanyakan masjid besar di sana.

Alangkah bagusnya jika sebuah bilik rawatan disediakan di setiap masjid besar di negara kita untuk para doktor memberi khidmat nasihat dan rawatan percuma kepada masyarakat miskin. Pastinya masjid akan dilihat bukan sahaja tempat ibadah malam juga menjadi tempat membantu masyarakat susah.

Untuk menanam rasa kebersamaan dan ingin menyumbang di kalangan masyarakat beberapa perkara perlu digerakkan bersama, antaranya (1) kempen berkongsi nikmat dengan orang lain haruslah disebarluaskan dan menjadi antara fokus utama dalam ceramah agama, (2) mereka yang suka menderma atau berwakaf haruslah dianggap sebagai wira masyarakat kerana mampu berkongsi nikmat dan rezeki dengan orang lain, (3) para pemimpin masyarakat, khususnya ahli politik dan pemerintah serta pegawai kanan kerajaan mendahului rakyat jelata dalam menunjukkan contoh berwakaf dengan harta sendiri, pastinya contoh dari pemerintah itu akan menjadi teladan membentuk budaya berwakaf di kalangan rakyat.

Penumpuan pengajian agama di masjid sekitar persoalan ibadah dan hal-hal yang berkaitan dengan bacaan al-Quran sahaja haruslah semak semula agar galakan untuk menyumbang dan berbakti dengan apa yang ada untuk kebajikan orang lain menjadi budaya baru masyarakat Malaysia.

Dengan kekayaan dan pencapaian yang mengkagumkan oleh negara kita, terasa amat malu jika kita melihat kepada bangsa lain yang berjaya menjadikan wakaf sebagai dana untuk membiayai semua aktivit kebajikan termasuk pendidikan percuma. Kalau England ada Oxford, Mesir ada al-Azhar, Iran ada al-Qum kenapa Malaysia tiada satu institusi wakaf yang membanggakan.

Kita bukanlah sebuah negara miskin dan masyarakat kita juga bukanlah masyarakat yang tidak peka dan peduli kepada kesusahan orang lain, apa yang pastinya hingga kini kita masih belum berjaya untuk mempunyai sebuah institusi wakaf yang berjaya serta membudayakan masyarakat kita untuk sentiasa berwakaf.

Kejayaan institusi wakaf di Mesir, khususnya al-Azhar tidak bermula dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sejarah institusi wakaf al-Azhar bermula sekitar 1000 tahun yang lalu ketika Panglima Jauhar al-Saqalli membina masjid al-Azhar di kota Kaherah. Kini nilai harta wakaf yang diuruskan oleh al-Azhar melebihi 4 Bilion Pound Mesir yang mampu mendanai sekolah rendah, menengah dan universiti.

Saya amat berkeyakinan dengan menyemak semula sistem pendidikan masyarakat, kempen yang berterusan, ikut serta para pemimpin untuk berwakaf, membuka minda masyarakat bahawa berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain tidak akan merugikan malah akan membentuk budaya saling membantu dan suasan hidup yang harmoni serta pengurusan wakaf yang efisen dan mudah, pastinya kita akan menjadi sebuah negara Islam contoh yang berjaya dalam pengurusan wakaf.

Kita telah banyak berjaya dan ditiru kejayaan itu oleh negara Islam lain dalam pengurusan Haji, pensijilan halal, perbankan Islam dan banyak lagi. Adalah tidak mustahil untuk kita berjaya dalam pengurusan wakaf.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo