Kuala Lumpur: Kalendar kejohanan silat 2021 mungkin terus suram apabila Kejuaraan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 yang sepatutnya berlangsung dalam masa terdekat ini berkemungkinan besar ditunda ke tahun depan.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkara terbabit akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Majlis Eksekutif Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Jumaat ini.
"Kalau kita nak buat pun dengan banyak penyertaan negara luar kena ikut peraturan seperti membuat gelembung sukan dan sebagainya.
"Jadi kita akan putuskan pada Jumaat ini, kita tengok apa perancangan seterusnya. Namun saya bersyukur kerana Persilat masih memberikan hak penganjuran itu kepada Malaysia.
"Oleh itu, kalau tak buat tahun ini, kita boleh tangguhkan sedikit masa. Tetapi cadangan awalnya, kita tak boleh buat pada bulan lain, mesti pada Julai atau Disember kerana ia adalah cuti musim panas dan musim sejuk," katanya.
Megat yang juga naib presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan, temasya terbabit turut berkemungkinan terpaksa dianjurkan di Kuala Lumpur berbanding Sarawak seperti ditetapkan sebelum ini.
"Mungkin tukar ke Kuala Lumpur tetapi belum kita putuskan lagi. Dulu kita sudah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak, tetapi kita ingat itu kita bincang kemudian tetapi apa yang penting, Malaysia menjadi tuan rumah.
"Ini kerana, sekiranya kes (Covid-19) di Sarawak masih tinggi, perlu ada dua kali SOP (Prosedur Operasi Standard) yang perlu diikuti, mereka (atlet luar) memasuki Kuala Lumpur dan selepas ke Sarawak pula.
"Jadi saya tak boleh menjawabnya sekarang kerana pada masa ini kes di Sarawak naik mendadak," katanya. - Metro
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment