NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas pemain handalan bola sepak Singapura meninggal dunia




BEKAS pemain bola sepak handalan Singapura yang memenangi Piala Malaysia dua kali, Allahyarham Mohamed Noh Hussein meninggal dunia pada pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 67 tahun di Hospital Besar Sengkang, Singapura setelah dilaporkan mengalami serangan jantung, semalam.

Laman sosial Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan berita pemergian selama-lamanya pemain sayap yang mahir menggelecek itu, hari ini.

Turut dikenali sebagai Mat Noh, dia membantu Singapura muncul juara Piala Malaysia pada 1977 dan 1980.

Kedua-duanya dengan menewaskan Pulau Pinang 3-2 dan Selangor 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dia juga kerap dikenali kerana jaringan tunggalnya menerusi sepakan penalti yang mengejutkan Malaysia 1-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 di Stadium Nasional, Singapura.

Ketika itu, Malaysia disebut-sebut pilihan utama Kumpulan 1 Asia dengan diperkasa (Datuk) James Wong, (mendiang Datuk) R. Arumugam, (Datuk) Soh Chin Aun, (Allahyarham) Isa Bakar Abu Bakar dan (Datuk) Jamal Nasir Ismail.

Mat Noh yang berketurunan Jepun sebelah neneknya, pernah berkahwin dengan penyanyi lagu popular ‘Jika Begini’ dan ‘Gadis Dan Bunga’, Rahimah Rahim pada 1977 tetapi bercerai pada 1988.

Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Pearl Nur Hida Mohamed Noh yang kini berusia 43 tahun.

Rahimah turut pernah merakamkan sebuah lagu pada 1975 yang dipercayai ditujukan kepada Mat Noh berjudul ‘Bintang Sukanku’.

Portal dalam talian Singapura, Straits Times melaporkan, dia bersara senyap-senyap daripada bola sepak selepas pasukan republik itu gagal mempertahankan Piala Malaysia pada 1981.

Singapura ditewaskan Selangor 4-0 dalam perlawanan akhir itu pada 30 Mei 1981, juga di Stadium Merdeka.

Mat Noh juga dikatakan lebih banyak mendalami ilmu agama sejak itu.

Antara rakan sepasukannya ialah Edmund Wee, Hasli Ibrahim, Samad Allapitchay, Dollah Kassim, Fandi Ahmad, Quah Kim Song, Hashim Hosni, David Lee dan T. Pathmanathan.

Pulau Pinang ketika final Piala Malaysia 1977 diperkuatkan antaranya Rahim Mohamed, (Datuk) Shukor Saleh, Isa dan abangnya, (Allahyarham) Ali Bakar Abu Bakar.

Selangor pula dalam pertembungan 1980 itu membariskan antaranya Kamarudin Abdullah, (Datuk) Santokh Singh, Zainal Abidin Hassan dan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari serta (Datuk) K. Rajagobal.

– BebasNews

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo