NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

YDP Agong seru rakyat patuhi Pelan Pemulihan Negara, keluar dari kemelut pandemik

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melakukan hijrah dalam mendepani pandemik COVID-19. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk melakukan hijrah dalam mendepani pandemik COVID-19.

Dalam titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2021/1443, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Dengan tema sambutan ‘Manhaj Rabbani Umat Berkualiti,’ baginda menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit bersama-sama bagi mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta.

“Beta menyeru seluruh rakyat untuk bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara yang merupakan strategi peralihan untuk keluar secara berfasa dari kemelut pandemik ini.

"Beta menyeru kepada seluruh rakyat; bangkitlah bersama-sama beta untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi SOP yang ditetapkan demi untuk negara yang dicintai ini," titah baginda.

Pada sambutan yang diadakan secara hibrid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Al-Sultan Abdullah bertitah peristiwa hijrah memberi panduan yang jelas tentang erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam lipatan sejarah.

“Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya menghayati hijrah bukan sahaja berupaya membentuk akhlak yang mulia, malahan ianya turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah, antara sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W. yang wajar diikuti ialah bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur, dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

“Dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Nabi Muhammad mengamalkan sikap terbuka dan sentiasa mendengar buah fikiran ramai menerusi konsep ‘syura.’

"Kerana itu Baginda sentiasa membuka ruang yang seluas-luasnya untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kemaslahatan ummah,” titah baginda lagi.

Sifat diri Nabi Muhammad turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah SWT, yang menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.

“Dengan demikian, sifat ini telah menjadikan Baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementing diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan” titah baginda.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo