NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Yang menawar dan yang menolak

Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat. 
Oleh LAIN PADANG LAIN BELALANG

Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat.
  
TAWARAN tujuh perkara yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada parti-parti politik di luar PN sebagai satu bentuk kerjasama merentas parti bukan sahaja sesuatu yang luar biasa malah belum pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia.

Luar biasa kerana ia penuh dengan elemen reformasi institusi yang sebelum ini gagal dilakukan bukan sahaja oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) malah oleh Barisan Nasional (BN) sekali pun.

Sebaliknya tawaran ini dilontarkan oleh Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya.

Walaupun ramai yang memberi reaksi tawaran ini datang terlalu lewat iaitu ketika Muhyiddin sudah berada dalam kedudukan yang sangat terdesak malah ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk rasuah, hakikat bahawa ia adalah satu tawaran untuk sama-sama melakukan reformasi institusi ke arah demokrasi yang lebih baik dan pembaharuan politik yang lebih mantap tidak harus dipandang ringan oleh sesiapapun.

Maka apa yang disarankan oleh Bersih 2.0 iaitu tawaran itu perlu disambut PH dan lain-lain parti pembangkang dengan tawaran reformasi institusi yang lebih komprehensif dan pakej yang lebih kuat adalah tepat.

Reformasi politik yang paling menonjol dalam tawaran Muhyiddin ialah keazaman untuk memperkenalkan undang-undang anti lompat parti yang sebelum ini membuka kepada apa yang dipanggil sebagai kerajaan pintu belakang.

Masalah paling besar yang menghantui kita semua ialah kerajaan pintu belakang ini dibenarkan oleh undang-undang.

Undang-undang dan peruntukan sedia ada sekarang menghalalkan pembentukan kerajaan pintu belakang kerana ia tidak menghalang ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri daripada melompat dan menyokong parti lain selepas menang pilihan raya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu semua sedia maklum akan hakikat ini, tetapi mereka tetap melaungkan dan melabelkan kerajaan PN sebagai kerajaan pintu belakang.

Nampak sangat ia semua adalah retorik politik semata-mata. Jika mereka benar-benar ikhlas mahu melihat kewujudan dan pembentukan kerajaan pintu belakang dihentikan, maka mereka patut menyambut dan menyokong apa yang ditawarkan oleh Muhyiddin.

Ini kerana untuk melakukan pindaan ke atas perlembagaan bagi menghalang wakil-wakil rakyat melompat memerlukan sokongan dua pertiga di dalam dewan.

Jika semua orang bersungguh-sungguh mahu menghentikan tindak-tanduk politik tidak bermoral seperti ini daripada berterusan, mereka wajib menyahut seruan ini dan bersama-sama berganding usaha untuk melakukan reformasi.

Sesungguhnya keberanian Muhyiddin melontarkan idea dan tawaran ini secara realistik dan bersungguh-sungguh, tidak kisahlah sama ada ia ikhlas atau tidak ataupun dalam situasi sudah terlambat, harus dipuji dan diberi tabik hormat.

Setidak-tidaknya beliau memiliki keazaman untuk melakukannya dan menyuara kesungguhan tersebut berbanding yang lain walaupun kerajaan pimpinannya dibentuk melalui proses pintu belakang.

Adalah lebih kelihatan ikhlas untuk berani berbuat demikian berbanding dengan yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak kelihatan bertindak secara tuntas.

Untuk itu, Muhyiddin harus diberi kredit kerana berani bersuara dan mengajak semua parti bersama-samanya dalam melakukan perubahan. Malangnya usahanya itu telah ‘ditembak’ dengan serta merta oleh semua pihak di luar PN.

Cuma yang agak memberangsangkan ialah ada juga dari kalangan PH - dalam konteks ini bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), Tony Phua dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang berani untuk melawan arus dengan berkata, sekurang-kurangnya dengarlah dahulu apa yang ingin diperkatakan oleh Muhyiddin kerana apa yang ditawarkannya adalah suatu bentuk reformasi institusi yang besar dan selama ini pun diperjuangkan oleh PH.

Tapi yang menolak tetap akan menolak, bukan kerana reformasi institusi disyorkan tu tak menarik tapi yang lebih menarik ialah untuk melihat Muhyiddin jatuh dan mengambil alih kerajaan.

Belalang – Suka dengar dulu sebelum buat keputusan...

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo