KUALA LUMPUR – Tumpuan rakyat Malaysia hari ini bakal menjurus kepada Istana Negara yang menyaksikan perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang bagi membincangkan isu semasa termasuk calon Perdana Menteri kesembilan.
Ini merupakan kali kedua perbincangan khas berkaitan kemelut politik semasa negara diadakan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas dua Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti, meletak jawatan – Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Majlis Raja-Raja Melayu telah mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 28 Februari 2020 berhubung tindakan Tun Mahathir meletakkan jawatannya pada 24 Februari dan kali ini ia diadakan susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu yang hilang majoriti apabila terdapat ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadapnya.
Meskipun Ismail Sabri kini dilaporkan pilihan majoriti calon Perdana Menteri tetapi jumlah sokongan ahli Parlimen yang dimiliki juga tipis yang memungkinkan berulangnya kemelut yang dihadapi oleh Muhyiddin Yassin dan perkara ini mungkin tidak disenangi oleh Majlis Raja-Raja Melayu kerana menyusahkan rakyat jelata.
Ini bersuaian dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti politik bekerjasama sebagai satu pasukan supaya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
Dengan mengambil kira kepentingan menangani pandemik Covid-19 dan juga keadaan ekonomi semasa tidak menghairankan jika Ismail Sabri dinasihatkan supaya mempunyai pembabitan parti pembangkang dalam kabinetnya atau satu bentuk pemuafakatan dibentuk.
Sebelum ini, Ismail bersaing sengit dengan ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
– BebasNews
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment