Rakan-rakan tanya saya berkaitan kemungkinan begitu begini dalam proses pelantikan Perdana Menteri. Saya cuba gambarkan urutan atau pilihan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan semangat Perlembagaan. Sebelum itu perlu disebut bahawa pelantikan Perdana Menteri berdasarkan beberapa prinsip, iaitu:
1. Pelantikan dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
2. Perdana Menteri mesti dari kalangan ahli Dewan Rakyat.
3. Beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
4. Pelantikan berasaskan budibicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak dengan adil dan saksama walau pun tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.
Berdasarkan realiti politik semasa, proses pelantikan wajar dibuat mengikut urutan langkah berikut:
Pilihan Pertama: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terus lantik Perdana Menteri baharu yang jelas mendapat sokongan lebih 110 ahli Dewan Rakyat. Jika berlaku cara ini, Perdana Menteri baharu dapat dilantik segera dalam sehari dua ini. Perlu diingat bahawa lantikan itu berasaskan kepercayaan oleh ahli-ahli Parlimen, bukan kepercayaan ketua-ketua parti politik.
Pilihan Kedua: Jika pilihan pertama tidak berlaku, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh memberi masa selama satu atau dua hari kepada pemimpin-pemimpin politik untuk membuat rundingan bagi mencapai majoriti. Rundingan itu sama ada untuk membentuk kerajaan minoriti bersama perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA), kerajaan campuran, atau kerajaan perpaduan. Jika masa dua hari telah tamat tetapi belum ada keputusan yang meyakinkan, sewajarnya tidak perlu ada penangguhan untuk terus memilih langkah ketiga.
Pilihan Ketiga: Melantik Perdana Menteri baharu yang ‘pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat’ walau pun tiada bukti jelas telah mendapat mendapat kepercayaan berkenaan. Perkataan ‘pada hemat’ dan ‘mungkin’ ini disebut dalam Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan, dan ia memberikan kelonggaran kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang mampu berusaha untuk mendapatkan sokongan kepercayaan anggota Dewan Rakyat selepas dilantik. Kelonggaran ini wajar digunakan selepas pilihan pertama dan kedua gagal, namun ia tertakluk kepada prinsip kesaksamaan, ketelusan, persefahaman dan had tempoh. Kesaksamaan maksudnya, hak berkenaan perlu diberikan kepada calon yang memiliki sokongan yang terbesar walau pun tidak mencapai majoriti. Ketelusan pula bermaksud maklumat sokongan yang diperolehi itu perlu diketahui secara umum atau sekurang-kurangnya antara calon-calon yang terlibat. Manakala, persefahaman pula ialah pelantikan itu perlu disusuli dengan satu hasrat untuk memberikan peluang kepada calon yang dilantik untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa diganggu-gugat oleh pihak-pihak lain demi untuk kebaikan rakyat. Selain itu mandat yang diberikan perlu dihadkan untuk satu tempoh yang sesuai sebelum diadakan Pilihan Raya Umum apabila wabak telah reda. Walau bagaimana pun, Perdana Menteri yang dilantik itu dapat bertahan lebih lama jika beliau berjaya mewujudkan kerajaan minoriti bersama perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA), kerajaan campuran, atau kerajaan perpaduan.
Pilihan Keempat: Bubar Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa 60 hari jika situasi selamat untuk dilaksanakan.
Pilihan Kelima (terakhir): Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150 untuk mewujudkan pemerintahan teknokrat atau apa sahaja bentuk pemerintahan yang dikehendaki oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Nota Rujukan:
# Perkara 43(2)(a): “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”
# Kerajaan minoriti: bila blok kerajaan tidak cukup majoriti, tetapi ada ahli parlimen di luar blok kerajaan yang setuju untuk berikan undi sokongan dalam undi kepercayaan dan belanjawan.
# Kerajaan campuran: Kerajaan yang terdiri daripada gabungan parti-parti yang pada asalnya bertentangan. Sebenarnya pemerintahan gabungan PN dan BN sebelum ini sudah memenuhi kategori kerajaan campuran.
# Kerajaan perpaduan: Kerajaan yang menggabungkan semua atau hampir semua parti yang ada sehingga hampir tiada langsung pembangkang.
Nota tambahan: tiada siapa boleh memaksa gabungan, kerjasama atau persefahaman kerana ia perlu dibuat berteraskan persetujuan politik bukannya melalui kuatkuasa undang-undang.
Moga Allah memberikan kepimpinan yang bertaqwa dan berjiwa rakyat untuk negara kita yang tercinta ini.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment