Manusia suka meminta perubahan.
Tapi apabila perubahan yang berlaku bukan seperti yang dihajatkan, ramai manusia ingin kembali ke zaman sebelum perubahan.
Jika perubahan adalah untuk apa yang dihajat, itu namanya bukan perubahan, itu impian atau mimpi.
Politik Malaysia hari ini bakal berlaku perubahan lagi.
Perubahan ini berlaku kerana angka 112.
Sejak pilihan raya 2018, rakyat dapat melihat betapa tidak berkuasanya mereka dalam sistem demokrasi negara selepas undi diberikan.
222 ahli parlimen bertarung membentuk kumpulan yang sekurang-kurangnya mempunyai angka 112.
Ada kumpulan cuba menghilangkan angka 112 daripada kumpulan lain.
Ada kumpulan yang sering menyatakan ada 112 tapi tidak pernah mempunyai angka tersebut.
Kini, angka 112 hilang di dalam kompas politik negara.
Ini yang mencetuskan kemelut politik negara hari ini.
Masing-masing mencari siapa yang bakal menjumpai angka 112.
Parlimen akan terbubar sendiri pada Mei 2023, iaitu dalam 20 bulan lagi.
Jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal, ia hanya akan berkuasa paling maksima 20 bulan lagi.
Jika ada kerajaan baru, ia juga hanya akan kekal paling maksima 20 bulan lagi.
Kemelut politik hari ini boleh diselesaikan jika ada mana-mana kumpulan yang terlebih dahulu mendapat sokongan 112 ahli Parlimen.
Jika ada yang mendapat sokongan yang “kukuh dan menyakinkan”, itu lagi baik.
Gelanggang kini dibuka.
Mana-mana ahli Parlimen berpeluang menjadi perdana menteri, termasuk yang pernah meletakkan jawatan itu.
Yang penting, apabila gelanggang dibuka, siapa ialah ular, siapa ialah hantu, siapa yang tiada hala tuju, siapa mempergunakan siapa, siapa bodoh, siapa cerdik dan siapa ikhlas semuanya akan terdedah.
Keabsahan kerajaan baru ini akan diuji serta merta pada sidang Parlimen akan datang.
Mungkin ia akan menjadi kerajaan terpendek di dalam sejarah Malaysia, dan negara akan terus ditadbir tanpa pentadbir sehingga polemik politik selesai.
Sesudah zaman bertahan mengawal Covid-19 tanpa vaksin terpaksa dipikul kerajaan yang lalu, dan segala usaha memastikan jumlah vaksinasi dilakukan secepat mungkin mula membuahkan hasil, datanglah ahli-ahli pengidam kuasa menuntut perubahan.
Tidak apa, asalkan ada perubahan.
Jangan menyesal jika perubahan itu di luar jangkaan seperti tersedar diri dipergunakan seperti kulit yang dilupakan kacang.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment