Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat MPN yang dicadangkan beliau. |
Tanpa menunggu pengiktirafan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh beliau sebelum ini.
Mesyuarat yang diadakan secara maya ini disertai oleh kesemua 20 tokoh yang dinamakan beliau manakala Ketua Pengarah kesihatan Datuk Seri Dr Norhisham Abdullah menyertai mesyuarat ini bagi menyampaikan taklimat beliau.
Selain itu, kesemua anggota yang dicadangkan Mahathir menyertai mesyuarat secara maya ini.
Mereka adalah Tan Sri Mohamed Azman Yahya,Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Rafidah Aziz, Prof. Dr Jomo K. Sundram, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Emeritus Prof Datuk Dr Lam Sai Kit, Datuk Dr Amar Singh HSS, Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman, Dr Kumitaa Theva Das, Datuk Dr Lokman Hakim, Datuk Dr Fadzilah, Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi, Prof Dato’ Salleh Buang, Samuel Isaiah, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Hannah Yeoh.
Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, hari ini beliau telah bertemu secara maya dengan 18 tokoh dan pakar-pakar dalam bidang kesihatan, ekonomi, perundangan dan politik yang telah saya cadangkan sebelum ini untuk menjadi ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN).
“Saya percaya mereka yang hadir bersetuju menyertainya kerana mereka juga merasa perlu melakukan sesuatu untuk membantu Negara ketika menghadapi bencana ini,” kata beliau.
Perlu diingat, katanya, ketika beliau mencadangkan penubuhan MPN ini pada 10 Jun, kes baharu yang direkod pada hari itu adalah 5,671 dan kematian seramai 73.
Semalam, kes baru mencapai rekod tertinggi sebanyak 19,819 dan kematian seramai 257 kes, juga merupakan rekod tertinggi setakat ini.
Dari tempoh memberi cadangan sehingga sekarang selama dua bulan, jumlah kes dan kematian meningkat lebih 3 kali ganda, katanya.
“Bagi saya dan rakan-rakan, kita sudah tidak boleh menunggu tanpa berbuat apa-apa sementara kes-kes tersebut meningkat dengan begitu mendadak,” katanya.
Seperti mana rakyat Malaysia lain berusaha membantu mereka yang susah yang telah menaikkan bendera putih, katanya, mereka merasa perlu berusaha mencari dan memberi penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh rakyat dan Negara.
“Bagi kami, apabila kes baru COVID-19 meningkat lima angka dan hari ini melebihi 20,000 kes, Negara sudah menaikkan bendera putih.
“Saya dan rakan-rakan tidak boleh duduk diam dan membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki, kami akan memberi pandangan dan diharap akan diguna pakai oleh Kerajaan,” katanya.
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, kata Mahathir, MPN ini tidak mempunyai kepentingan politik parti atau individu melainkan untuk mencari jalan untuk membantu Negara mengatasi bencana.
“Kita boleh berterusan mengkritik Kerajaan tetapi ia tidak menyelesaikan masalah dan yang akan terus menderita ialah rakyat.
“Adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak kami jika kami mempunyai cadangan dan pandangan yang dapat membantu tetapi memilih untuk mendiamkan diri. Bagi kami di dalam MPN, ini adalah usaha dan khidmat kami kepada Negara.
“Jika usaha kami dapat membantu rakyat dan Negara, ini bermakna kami telah melaksanakan tanggungjawab kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment