NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan Muhyiddin bermaruah



Dengan pengumuman perletakan jawatan beliau semalam, maka berakhirlah jangka hayat pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri yang bermula pada 1 Mac 2020 setelah kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari sebelumnya.

Kisah Muhyiddin hampir sama dengan kisah Tun Dr Mahathir Mohamad yang, setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, mengemukakan pelan untuk membentuk kerajaan perpaduan merentas jurang politik bagi kembali berkuasa tetapi ditolak oleh parti lain.

Bezanya adalah tawaran kerajaan perpaduan Dr Mahathir dibuat tatkala beliau telah kehilangan jawatan, diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri Interim dan di dalam usaha beliau untuk membentuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan Kerajaan PH yang sudah terkubur.

Berlainan pula ceritanya dengan Muhyiddin yang bukan menawarkan kerajaan perpaduan yang memerlukan pembentukan barisan Jemaah Menteri yang datang daripada parti-parti yang berlainan ideologi atau daripada para profesional tatkala beliau sudah tidak lagi berkuasa.

Sebaliknya tawaran Muhyiddin hanyalah tawaran Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) berupa tujuh komitmen kepada parti-parti pembangkang sebagai tukaran kepada komitmen mereka untuk menyokong usul undi percaya kepada beliau selaku Perdana Menteri.

Tawaran ini pula muncul ekoran tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN sekali gus menimbulkan keraguan tentang keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah.

Tujuan Muhyiddin mengemukakan tawaran ini pula adalah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen selain untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik tidak diselesaikan segera.

Pemberian tawaran CSA ini adalah satu langkah amat berani yang diambil oleh Muhyiddin, setelah berunding dengan rakan-rakan beliau di dalam kabinet dan pimpinan parti-parti dalam Kerajaan PN, memandangkan kepada suasana permusuhan yang ditunjukkan kepada beliau.

Pastinya pemberian tawaran CSA ini dibuat setelah diambil kira perhitungan untung rugi kepada kerajaan, rakyat dan negara, apa lagi bila dikatakan bahawa pihak yang mula-mula mencadangkannya adalah beberapa Ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang sendiri.

Pemberian tawaran CSA ini juga dikira munasabah bila difikirkan bahawa bila tindakan sama dibuat di Perak oleh Menteri Besarnya dari UMNO, Datuk Saarani Mohamad, pada Disember 2020 lalu ia disambut baik oleh parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil.

Ia juga dikira rasional kerana tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting di mana kerajaan merancang untuk mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober dan sasaran ini tidak akan tercapai jika negara terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Tujuh komitmen yang Muhyiddin tawarkan juga adalah menarik dan boleh memastikan kepentngan rakyat terjaga, meliputi perkara-perkara yang pernah parti-parti pembangkang perjuangkan di samping tidak menggadaikan prinsip perjuangan mana-mana parti, iaitu:

1. Komitmen untuk memberi peruntukan tahunan yang sama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik

2. Komitmen untuk membuat penambahbaikan substantif Pelan Pemulihan Negara berdasarkan input dan cadangan yang diperolehi daripada libat urus Menteri Kewangan dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang

3. Komitmen untuk membentangkan di Parlimen suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.

4. Komitmen untuk memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

5. Komitmen untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

6. Komitmen untuk merundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen.

7. Komitmen untuk memberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan kepada Ketua Pembangkang.

Malangnya, di sebalik menyahut jemputan Muhyiddin supaya untuk membincangkan cadangan-cadangan ini, parti-parti pembangkang di dalam PH khususnya terus sahaja mengeluarkan kenyataan media melalui Majlis Presidennya yang menempelak tawaran itu.

Yang menjadi perhatian utama mereka bukanlah membincangkan isi tawaran Muhyiddin ini tetapi mempolitikkannya dengan mendakwa ia adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat yang mewajibkan beliau meletakkan jawatan.

Penolakan serta-merta Majlis Presiden PH terhadap tawaran Muhyiddin ini merupakan satu manifestasi kepada kegelojohan PH di dalam membuat keputusan sekali gus menonjolkan obsesi PH untuk merampas kuasa walhalnya belum tentu kuasa akan menjadi milik mereka.

Jika para pemimpin PH benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya menimbangkan secara rasional tawaran Muhyiddin di dalam mesyuarat parti-parti komponen di samping menunjukkan kematangan berpolitik dengan sekurang-kurangnya memberikan tawaran balas ke atasnya.

Para pemimpin PH seharusnya menunjukkan secara telus dan terbuka kepada rakyat apakah yang dikatakan perancangan lebih baik yang mereka ada untuk dibandingkan dengan tawaran Muhyiddin tetapi ia tidak berlaku di mana tiada sebarang penjelasan pun diberi mengenainya.

Menyedihkan sekali reaksi PH dan parti-parti pembangkang lain ini yang sekali gus menjadi bukti jelas betapa para pemimpinnya tidak benar-benar ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat sebaliknya hanya mahu mengejar kuasa sehingga menolak mentah-mentah tawaran ini.

Tiada apa pun yang perlu dikesalkan oleh Muhyiddin bila tawaran beliau ini ditolak, malah ia sebaliknya akan tercatat dalam lipatan sejarah sebagai satu tanda kerendahan hati dan keikhlasan beliau untuk benar-benar memastikan kepentingan rakyat dan negara terjaga.

Sesungguhnya perletakan jawatan Muhyiddin adalah satu tindakan bermaruah yang menjadi bukti bahawa beliau bukan gila kuasa dan, jika Perdana Menteri baru datang dari pendokong PN juga, bukan dari pendokong PH, seperti diperkata maka PH-lah yang perlu menyesal.

Muhyiddin akan dikenangi sebagai seorang Perdana Menteri yang bertungkus-lumus memerangi musibah Covid-19 tetapi terpaksa berundur di saat bayang-bayang kejayaan sudah terlihat ekoran sikap tidak berkompromi beliau ke atas prinsip kedaulatan undang-undang.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo