Kumpulan ahli parlimen Umno yang cenderung mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional didakwa kekal utuh selepas mereka mengadakan pertemuan di tengah Kuala Lumpur malam ini.
Ditemui media selepas berakhir pertemuan tersebut kira-kira jam 2 pagi tadi, Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin berkata keadaan kerajaan kekal dalam keadaan baik.
"Intact (utuh) semuanya," kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu di Hotel Seri Pacific yang terletak tidak jauh dari ibu pejabat partinya.
Terdahulu Zahidi bersama lebih 10 ahli parlimen Umno berkumpul di hotel tersebut dalam pertemuan yang didakwa sekadar sesi "bersembang-sembang sahaja".
Antara pemimpin Umno yang berada di situ ialah bekas menteri besar Perlis yang juga Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.
Mereka merupakan sebahagian daripada ahli parlimen yang cenderung mahu meneruskan hubungan dengan Bersatu, mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional dan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Selepas tengah malam Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob tiba di situ dan turut menyertai pertemuan berkenaan. Sebelum itu Ismail Sabri berkunjung ke rumah Muhyiddin di Bukit Damansara bersama sejumlah menteri kanan serta Peguam Negara Idris Harun.
Ia berlaku beberapa jam selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dia memiliki bukti bahawa lebih 10 ahli parlimen parti berkenaan sudah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.
Nama-nama tersebut, kata Ahmad Zahid, sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen.
Kalau anda terlepas...
ULASAN | Mengenang Anjang Aki si tentera berjiwa seni
Justeru kata Ahmad Zahid, presiden Bersatu itu perlu berundur daripada jawatan perdana menteri secara terhormat.
Sumber yang dekat dengan Ahmad Zahid pula mendakwa sekurang-kurangnya ada 14 ahli parlimen sudah bersama ahli parlimen Bagan Datuk itu.
Zahidi berkata pertemuan malam ini dibuat sekadar untuk menyatukan (consolidate) mereka dan keadaan dianggap dalam keadaan baik.
Ditanya mengenai khabar angin akan ada lagi menteri dari Umno akan meletak jawatan seperti Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, Zahidi berkata, ia masih belum dapat disahkan.
"Tak ada yang letak jawatan.... ada dua tiga orang saja dengarnya tapi tak sah lagi," katanya.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment