NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini! Pelantikan NC baharu UiTM ditangguh berikutan perletakan jawatan Menteri

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar mengesahkan mengenai surat penangguhan pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu dan meminta diberikan masa sehingga esok bagi memberikan penjelasan lanjut mengenainya.

"Ya memang surat itu saya keluarkan, bagi sedikit masa untuk saya beri penjelasan esok," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran gambar dua surat berhubung pelantikan dan penangguhan pelantikan Roziah yang viral di media sosial sejak malam tadi.

Surat pelantikan yang viral itu adalah mengenai pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor yang ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu manakala satu lagi surat ditandatangani Husaini menyatakan mengenai penangguhan lantikan.

Roziah kini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Naib Canselor sebelum ini, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.

Melalui surat pelantikan itu, dinyatakan pelantikan Roziah itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 20 (1) Akta UiTM bagi tempoh berkuat kuasa 9 Ogos 2021 sehingga 11 Oktober 2023.

Noraini melalui surat itu mengucapkan tahniah kepada Roziah dan yakin beliau mampu membawa UiTM maju dan menjadi organisasi yang lebih cemerlang.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi susulan ketetapan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, surat penangguhan yang ditandatangani Husaini itu bertarikh 7 Ogos antara lain menyatakan dimaklumkan pelantikan sebagai Naib Canselor UiTM yang berkuat kuasa 9 Ogos ditangguhkan sehingga keputusan baharu dibuat oleh kerajaan.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo