PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan telah dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dan selamat menjalani pembedahan jantung.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, ia dipercayai akibat masalah kesihatan jantung dialami Setiausaha Agung Pas itu sehingga terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.
“Datuk Seri Takiyuddin jalani angiogram kelmarin selama tiga jam sebab ada tiga tempat yang tersumbat.
“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan dipercayai keluar esok,” katanya.
Minggu lalu, Takiyuddin diasak pembangkang berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.
Tambah beliau, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
No comments
Post a Comment