NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan Selangor saran jauhi sifat hasad dengki


SHAH ALAM: Umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri kita.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia termasuk sifat hasad dengki dan fitnah memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain khususnya di media-media sosial.

Titah baginda situasi itu boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

“Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perutusan Sultan Selangor sempena sambutan Ma’al Hijrah 1443 semalam.

Menurutnya sempena sambutan Awal Muharram 1443 baginda menyeru orang Melayu Islam di Selangor agar memperbaharui azam dan tekad dengan mengubah cara berfikir.

Titah baginda perbaharuan itu dengan melakukan sesuatu tindakan, ke arah mencapai matlamat kecemerlangan dalam kehidupan bagi memastikan matlamat kecemerlangan tercapai.

“Beta berharap sambutan Ma’al Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam. – HARAKAHDAILY 11/8/2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo