Pembukaan penggal persidangan ketiga DUN Johor Mei tahun lepas. Foto : PMO Office |
Dewan Negeri (DUN) Johor dijadualkan akan mula bersidang pada 12 Ogos 2021 setelah mendapat pekenan DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ä°skandar.
DUN Johor menjadi antara badan perundangan negeri yang terawal akan bersidang selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos yang lalu.
Kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Adun Gambir pada sidang DUN Johor nanti mungkin akan menjadikan ujian awal terhadap keabsahan kerajaan PN di peringkat negeri dan persekutuan.
Pada ketika ini kedudukan kerajaan PN di DUN Johor hanyalah 29 orang berbanding pembangkang 27 orang, iaitu dengan perbezaan majoriti tipis dua kerusi.
Maka, Menteri Besar Johor, Dato' Ir Hasni Mohammad daripada Umno tidak boleh rasa selesa dengan situasi ini, khusunya ancaman daripada Adun Bersatu yang mahu menarik sokongan kepada kerajaan PN Johor sekiranya Umno mahu menukar kerajaan di peringkat persekutuan.
Hasni Mohammad bagaimanapun sudah menzahirkan kesediaan untuk berhadapan ujian keabsahan di DUN Johor sekiranya keadaan memaksa.
Muhyiddin hadir ketika pembukaan penggal persidangan ketiga DUN Johor Mei tahun lepas Foto : PMO Office |
Untuk memastikan politik Johor stabil, kerajaan negeri perlu meneruskan ‘Cara Johor’ dengan melihat Adun pembangkang sebagai rakan strategi dalam tadbir urus dan dasar negeri untuk mendapat kepercayaan DUN Johor mentadbir negeri.
Walau apa pun yang berlaku, sidang DUN Johor perlu menunjukkan sikap kerajaan negeri yang lebih terbuka dan pembangkang pula perlulah menunjukkan kematangan dalam mengkritik dasar.
Di semua peringkat, sama ada diperingkat negeri atau persekutuan, apa yang rakyat mahu adalah wakil rakyat mereka, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang boleh bekerja secara bersama dan memikirkan usaha menyelesaikan isu kesihatan, politik, dan ekonomi.
Ahli politik baik diperingkat negeri mahupun persekutuan perlulah menerapkan kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang supaya demokrasi negeri benar-benar berfungsi untuk memberi impak positif kepada bangsa Johor.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment