KUALA LUMPUR, Ogos 15: Kemelut politik negara berpanjangan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan akan meletak jawatan apabila menghadap Yang Di Pertuan Agong di Istana Negera tengahari ini, dan kini timbul teka-teki siapakah yang bakal dilantik sebagai PM.
Antara nama yang muncul adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ahli politik veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri yang juga dari parti UMNO.
Walaupun Anwar telah dinamakan sebagai calon tunggal PM dari blok Pakatan Harapan, namun hakikatnya beliau masih belum mempunyai majority mudah untuk membentuk kerajaan dengan pendirian UMNO ‘ No DAP, No Anwar’ yang telah beberapa kali ditegaskan oleh Presiden UMNO Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tengku Razaleigh Hamzah, lebih dikenali sebagai Ku Li menjadi salah satu pilihan calon PM bagi mengetuai kerajaan interim sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan setelah pandemik Covid-19 reda. Ahli Parlimen Gua Musang tersebut adalah pemimpin yang kedua paling senior di Dewan Rakyat selepas Tun Dr Mahathir Mohammad, dan pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1980-an.
Beliau menubuhkan parti Semangat 46 setelah perselisihan bersama Dr Mahathir, tetapi kembali ke pangkuan UMNO kemudian. Ku Li dilihat sebagai pilihan neutral yang boleh diterima oleh semua pihak memandangkan tiada pihak yang memiliki sokongan majoriti ketika ini.
Ismail Sabri pula sebagai TPM yang menyokong Muhyiddin ketika Zahid dan 14 Ahli Parlimen UMNO yang lain, termasuk mantan PM Dato’ Seri Najib Razak menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin, mungkin boleh dilantik PM jika mendapat sokongan padu blok yang menyokong Muhyiddin ketika ini dan juga yang Ahli Parlimen UMNO di belakang Zahid.
Sumber mengatakan Ismail telahpun berjumpa dengan Zahid bagi memohon sokongannya. Difahamkan Zahid telah memberitahu Ismail bahawa UMNO akan menyerahkan kepada Tuanku Agong untuk menentukan perkara tersebut.
Najib juga menjadi pilihan sebagai PM interim bagi sebahagian rakyat dan pemimpin berdasarkan pengalaman beliau yang dilihat mampu memulihkan negara dari impak sosio ekonomi pandemic Covid-19. Namun, kes-kes mahkamah serta rayuan beliau yang masih di bawah perbicaraan mungkin menjadi penghadang ketika ini.
Teka-teki siapakah yang akan menerajui negara akan terjawab di dalam beberapa hari ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan arena politik negara.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment