Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih akan menjalankan operasi vaksinasi jumpa terus atau 'walk-in' tanpa janji temu bagi penduduk di Lembah Klang bermula esok, 2 Ogos ini.
Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih akan menjalankan operasi vaksinasi jumpa terus atau ‘walk-in’ tanpa janji temu bagi penduduk di Lembah Klang bermula esok, 2 Ogos ini.
PPV terbabit ialah:
KL Convention Centre HCO F;
KL Convention Centre HCO G;
KL Convention Centre HCO H;
Bangi Avenue Convention Centre;
Hotel Wyndham, Klang;
Dewan Tun Razak, Sabak Bernam;
Dewan Komuniti Serendah;
Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA; dan
Ideal Convention Centre, Shah Alam.
Mulai 2 Ogos hingga 4 Ogos PPV walk in itu akan dibuka khusus untuk penerima vaksin berusia 40 tahun ke atas atau mereka daripada kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti di Lembah Klang.
Manakala walk in bagi semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan hari ini.
“Masa jumpa terus bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing,” katanya.
Dalam kenyataan sama CITF memaklumkan untuk bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang pula, tarikh dibenarkan jumpa terus bermula 9 Ogos dan hanya akan dijalankan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing.
CITF berkata antara dokumen yang diperlukan iaitu bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain lagi.
“Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka komorbid seperti kad rawatan atau kad janji temu.
“Tambahan bagi bukan warganegara, mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, mereka akan melalui proses yang telah ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara yang telah dikeluarkan oleh CITF,” katanya.
“Pelaksanaan vaksinasi jumpa terus ini adalah berdasarkan ‘siapa dahulu, dia dapat’ bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, dengan individu jumpa terus akan diletakkan di bawah ‘senarai menunggu’ untuk hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari berkenaan sudah habis digunakan,” tambahnya.
“Adalah dimaklumkan bahawa golongan ibu hamil tidak perlu untuk jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya janji temu mereka akan diberikan melalui MySejahtera.
“CITF juga ingin mengingatkan bahawa jumpa terus hanyalah untuk penduduk di Lembah Klang. Individu yang telah mendapat janji temu adalah tidak dibenarkan untuk jumpa terus dan mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan jumpa terus sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang,” katanya.
Katanya operasi vaksinasi tanpa janji temu (jumpa terus) ini adalah berlandaskan kepada keperluan untuk melindungi penduduk di Lembah Klang dalam zon merah memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.
Sementara itu, CITF memaklumkan bagi vaksinasi secara jumpa terus melalui program jangkauan di kawasan pinggiran Lembah Klang pula, ia akan bermula secara berperingkat pada 9 Ogos ini.
“Jadual pergerakan iaitu tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terlibat seperti badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.
“Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor,” katanya. - BERNAMA
https://www.vaksincovid.gov.my/upload/media/KENYATAAN_MEDIA-PENJELASAN_MENGENAI_INISIATIF_WALK-IN_VAKSINASI_BERMULA_OGOS__190721.pdf
https://www.vaksincovid.gov.my/upload/media/KENYATAAN_MEDIA-PENJELASAN_MENGENAI_INISIATIF_WALK-IN_VAKSINASI_BERMULA_OGOS__190721.pdf
No comments
Post a Comment