NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas 200 juta dijangkiti, WHO bimbang kesan sindrom pasca COVID-19

Maria Van Kerkhove,Ketua Teknikal COVID-19 Agensi Kesihatan PBB. Gambar CNBC
GLOBAL | Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan mendalam terhadap bekas pesakit COVID-19 yang tidak diketahui jumlahnya, selepas hampir 200 juta masyarakat di seluruh dunia menjadi mangsa pandemik itu.

Ketua Teknikal COVID-19 Agensi Kesihatan PBB, Maria Van Kerkhove, berkata WHO menggesa orang ramai yang berdepan kesan sampingan atau sindrom pasca COVID-19, segera mendapatkan bantuan perubatan meskipun sudah pulih.

Katanya, kesan sindrom pasca COVID-19 menjadi satu daripada aspek paling misteri pandemik berkenaan.

"Sindrom pasca COVID-19 atau COVID-19 berpanjangan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan," katanya dalam sidang media, di sini pada 4 Ogos 2021/Rabu.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 5 Ogos 2021/Khamis melaporkan Van Kerkhove berkata, WHO memastikan bahawa pihaknya sedang mengenalpasti perkara itu kerana ramai kalangan mereka yang terkena jangkitan SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19 berdepan kesan jangka panjang.

"Kita tidak tahu selama mana kesannya akan berakhir dan kita sedang berusaha mengkaji kes untuk lebih memahami sekali gus mengenalpasti sindrom pasca COVID-19," katanya.

Beliau berkata, WHO juga sedang berusaha melaksanakan program penyembuhan lebih baik untuk bekas pesakit COVID-19 selain untuk penyelidik memahami lebih baik mengenai sindrom terbabit serta cara mengawalnya.

Malah WHO mengadakan beberapa siri seminar tahun ini yang memfokuskan untuk meluaskan pemahaman terhadap keadaan pasca COVID-19 membabitkan pendapat bukan hanya dari saintis dan doktor malah pengalaman pesakit sendiri.

Hanya sedikit dapatan diperoleh mengenai faktor sesetengah pesakit COVID-19 yang berdepan kesukaran untuk sembuh selain berdepan simptom berpanjangan sukar bernafas, keletihan melampau, keliru dan masalah jantung serta neurologi.

Ketua rawatan klinikal dalam program kecemasan WHO, Janet Diaz yang mengetuai usaha organisasi itu berkaitan pesakit pasca COVID-19 berkata, lebih 200 simptom dilaporkan sehingga kini membabitkan sakit dada, kebas dan ruam.

Diaz berkata, sesetengah pesakit mempunyai simptom berpanjangan selepas fasa akut, namun ada juga semakin baik sebelum mengalami kesan berkenaan.

Selain itu, ada yang simptomnya datang dan pergi manakala ada yang mengalami gejala terbabit selepas sembuh dari fasa akut.

Kajian lebih jauh hanya boleh dilakukan terhadap pesakit pertama yang sembuh daripada COVID-19 iaitu virus yang pertama kali muncul di China pada Disember 2019.

Diaz berkata, sesetengah individu dilihat berdepan keadaan pasca COVID-19 selama tiga hingga enam bulan.

"Kita bimbang wujudnya bilangan kecil yang simptomnya boleh berlarutan hingga sembilan bulan malah lebih daripada tempoh itu," katanya.

Sementara itu, pakar di Amerika Syarikat (AS) mengakui sehingga kini masih belum memahami sepenuhnya punca pasca COVID-19 berlaku dengan pelbagai hipotesis dikeluarkan termasuk masalah neurologi, kesan balas imun terhadap jangkitan dan virus kekal di dalam sesetengah organ. 


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo