Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas rakan seperjuangan, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. Gambar: Facebook |
Seorang pemimpin PKR yang rapat dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak mustahil parti Melayu itu bergabung dalam Pakatan Harapan (PH), ketika ramai pemimpin gabungan pembangkang menyatakan keyakinan kerajaan dapat dibentuk sekiranya lebih ramai ahli Parlimen Umno kembali mengikut keputusan parti.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang pernah bersama dengan Zahid memimpin Pemuda Umno untuk menentang Dr Mahathir Mohamad ketika bekas perdana menteri itu mengetuai Umno pada 1990-an, berkata PH dan Umno mempunyai prinsip yang dipersetujui bersama seperti pentabiran yang baik, melindungi hak istimewa orang Melayu dan membela agama Islam.
Gambar EXCO Pemuda UMNO Tahun 1992 yang menampilkan antaranya Ahmed Zahid Hamidi, Saifuddin Nasution Mandailing, Sharkar Shamsudin dan Hamdan Taha. Foto : twitter |
“Tengok pula pada Umno, Fasal 3 Perkara 3 dalam perlembagaan mereka, tujuan Umno ditubuhkan adalah untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam.
“Kalau dasar kita tadi, Islam sebagai agama, Umno ada dalam Fasal 3 Perkara 3, bukankah itu titik temunya?” kata Saifuddin kepada Utusan Malaysia.
Beliau menolak gesaan pemimpin Umno yang tidak mahu sebarang kerjasama dengan pemimpin PKR Anwar Ibrahim dan DAP, mengatakan ia bukan prinsip parti Melayu itu dan menyifatkannya hanya sebagai sebuah “sentimen”
“No Anwar, No DAP’ itu saya tak percaya ia dasar parti, saya cuma kata itu sentimen dalam parti.
“Ada beza dasar dengan sentimen, dasar ia kekal, sentimen ini pula ia boleh hilang, tak kekal,” tambahnya.
Beliau berkata bagaimana Umno dan PAS boleh menandatangani Muafakat Nasional walaupun wujud permusuhan politik antara kedua-dua parti itu sejak berdekad lamanya.
Beliau berkata, dengan permuafakatan tersebut, ia menunjukkan kebencian antara Umno dan PAS di peringkat akar umbi hanyalah sentimen dan bukan dasar parti tersebut.
Ulasan Saifuddin tersebut tampil ketika Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak meningkatkan usaha kempen yang mahu ahli-ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan kata dua diberikan kepada menteri-menteri Umno supaya mereka meletakkan jawaan daripada Kabinet.
Minggu lalu, Zahid dan Najib mengetuai beberapa pemimpin Umno dalam sebuah sidang media bagi mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin bagi menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini, dua menteri dari Umno, Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad telah meletakkan jawatan mereka selepas mendapat tekanan dari Zahid.
Sekitar 30 orang ahli Parlimen Barisan Nasional termasuk ahli Kabinet dan pemimpin MCA dan MIC bagaimanapun mengenepikan desakan Zahid supaya mereka meletakkan jawatan, mengatakan mereka masih mendukung kerajaan PN.
Muhyiddin telah bersetuju untuk menguji sokongan terhadapnya di Dewan Rakyat dalam persidangan bulan depan, keputusan tersebut juga sudah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau mengadap baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saifuddin menyuarakan harapan dengan peletakan jawatan dua menteri tersebut akan dapat menyaksikan Umno berganding bahu bersama PH untuk membentuk kerajaan.
“Saya berkongsi pandangan saya bahawa kalau titik temu kepada satu parti itu bersifat dasar, ia satu yang mungkin boleh berlaku.”
Berita asal : Malaysianow
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment