ANTARA hari yang disunatkan berpuasa dalam bulan Muharam adalah pada hari tasu'a dan asyura. |
Oleh DR. AZRI BHARI
Bulan Muharam adalah salah satu daripada bulan-bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum). Turutan susunan dalam takwim atau kalendar Hijrah adalah sebagai bulan pertama yang menandakan permulaan tahun baru dalam Islam.
Keistimewaan bulan Muharam dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa” (al-Taubah: 36).
Perincian berkaitan empat bulan haram ini telah dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban. (Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054).
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Muharam dimuliakan kerana termasuk dalam empat bulan haram iaitu digazetkan haram berperang dalam bulan-bulan tersebut.
Ia sangat diistimewakan dari sudut amalan soleh yang dilakukan di dalamnya menjadi besar ganjarannya. Begitu juga dosa dan maksiat yang dilakukan juga turut menjadi besar di dalam bulan-bulan haram.
Antara amalan soleh yang dianjurkan oleh Nabi SAW dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharam dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam ‘qiamullail’ (Riwayat Abu Daud: no.2429)
Seterusnya, terdapat hadis khusus yang menganjurkan berpuasa pada 10 Muharam dengan menyatakan kelebihan iaitu “Berpuasa pada hari Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Ibn Majah: no.1738).
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu” (Riwayat al-Bukhari: no.2004).
Hadis di atas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘asyura adalah sunat dari sudut hukum dan sangat dianjurkan kepada umat Nabi SAW.
Walaupun dianjurkan berpuasa pada 10 Muharam, sangat dianjurkan untuk diiringi dengan berpuasa pada hari sebelum atau selepas untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya” (Riwayat Ahmad: no.2154).
Kaedah melaksanakan puasa Asyura telah dijelaskan oleh para ulama kepada tiga iaitu pertama; berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Kedua; berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal. Ketiga; berpuasa sehari dan selepasnya.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan dengan kaedah iaitu pertama; berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya. Kedua; berpuasa pada 9 (tasu’a) dan 10 (Asyura) Muharram sahaja. Ketiga; berpuasa pada 10 Muharram sahaja (Zaad al-Ma’ad: 2/72).
Demikianlah disunatkan berpuasa sunat pada hari ‘Asyura dengan diiringi berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Rebutlah peluang beramal soleh seperti solat sunat, puasa sunat, baca al-Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya di dalam bulan Muharram kerana dijanjikan oleh Allah SWT keampunan dan pahala yang besar.
DR. AZRI BHARI, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM, Shah Alam, Selangor
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment