9 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan tidak akan diadakan.
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Proklamasi Darurat 2021 yang berkuat kuasa pada 11 Jan hingga 1 Ogos dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, peruntukan Perlembagaan mana-mana negeri berhubung pilihan raya bagi pemilihan ke DUN tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.
“Di bawah Perkara 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.
“Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal 3, maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, SPR menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya’kub melalui surat bertarikh 8 Ogos berhubung status kekosongan luar jangka kerusi berkenaan ekoran penyandangnya, Md Yusnan Yusof meninggal dunia pada 30 April.
Sehubungan itu, katanya, Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada PRK akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi N23 Melor,” katanya.
Pada 4 Mei, PRK DUN Melor yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, dilaporkan ditangguhkan.
Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.
Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada pilihan raya umum ke-13 dan ke-14.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment