Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat dengan ahli MPN hari ini. Gambar : FB Tan Sri Muhyiddin Yassin |
Perdana Menteri berkata, syor dari mesyuarat itu diharapkan dapat membantu kerajaan melaksanakan PPN dengan lancar dan selamat.
"Mesyuarat MPN membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data serta pandangan pakar kesihatan dan ekonomi.
"Ia merangkumi kadar vaksinasi, status vaksinasi individu, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan keperluan untuk sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil sederhana (PKS), dibuka semula dengan SOP yang ketat.
"Diharapkan apa yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan PPN dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mesyuarat kedua MPN itu dianggotai pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial termasuk bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.
Ahli MPN lain yang turut serta dalam mesyuarat itu adalah Presiden PKS Malaysia, Datuk Michael Kang; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim; tokoh media, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Anthony Francis Fernandes; aktivis masyarakat, Datuk Dr Hartini Zainudin dan pakar psikiatri, Prof Madya Dr T Sivakumar.
- BH
No comments
Post a Comment