NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penjelasan 'what's next' Zahid Hamidi | Dia kira macam mana?



Oleh MR ISKANDAR ZULQARNAEN

SELEPAS dikatakan tidak mempunyai perancangan yang jelas sehinggakan Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan menyifatkan satu Malaysia 'blur' dengan apa yang Presiden Umno, Zahid Hamidi ingin lakukan, akhirnya beliau tampil memberikan penjelasan semalam.

Menurut Zahid, pertama dia perlu mendesak Muhyiddin letak jawatan. Selepas Muhyiddin meletak jawatan secara terhormat dia akan menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau Perdana Menteri interim (PM-i).

Selepas dilantik sebagai PM atau PM-i beliau dengan kabinet baharunya akan bekerja keras untuk menghapuskan Covid-19.

Kemudian apabila Covid-19 telah berjaya dihapuskan beliau akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membubarkan Parlimen untuk membolehkan rakyat memberi mandat baharu kepada kerajaan.

Cuma penulis tidak pasti bagaimana Zahid akan menduduki kerusi PM atau PM-i itu selepas Muhyiddin melepaskan jawatan itu secara terhormat. Ia tidak dijelaskan.

Adakah Zahid menjangkakan Muhyiddin akan meletakkan jawatan dan kemudian Muhyiddin akan mencadangkan kepada YDPA agar Zahid menggantikannya?

Adakah Zahid fikir setelah segala huru-hara yang dilakukan ini maka Ahli-ahli Parlimen (MP) Bersatu dan PAS akan dengan rasa terharu dan bangga akan menandatangani SD menyokong untuk dia menjadi PM atau PM-i yang baharu?

Sekiranya Muhyiddin meletak jawatan dan sekali pun tanpa membubarkan Dewan Rakyat maka sudah pasti YDPA perlu melantik PM yang baharu. Ini memerlukan pencalonan dan SD daripada semua MP.

Maka mereka yang mahu dicalonkan sebagai PM yang baharu maka mereka akan mengumpulkan SD yang menyokong mereka.


Ini kemungkinannya : Zahid akan hantar cadangan nama PM dengan sokongan 14 MP Umno; PN hantar balik cadangan nama PM Muhyiddin dengan sokongan 100 MP PN; PH akan hantar nama Anwar sebagai calon PM dengan sokongan 90 MP PH; Tun M pula akan hantar cadangan nama PM iaitu dia sendiri dengan sokongan 15 kerusi (Pejuang dan Warisan).

Jadi blok yang mendapat jumlah SD tertinggi walau pun tidak mendapat majoriti mudah 112 kerusi ialah PN dengan 100 kerusi. Blok Umno di kedudukan keempat dengan 14 kerusi.

Itu jika baki 27 orang MP BN kekal menyokong PN pada ketika itu. Baiklah, kita tukar kemungkinan. Andaikan semua 42 orang MP BN pada kali ini menyokong Umno.

Ini kemungkinan keduanya : Zahid akan hantar cadangan nama PM dengan sokongan 42 MP Umno; PN hantar balik cadangan nama PM Muhyiddin dengan sokongan 75 MP PN; PH akan hantar nama Anwar sebagai calon PM dengan sokongan 90 MP PH; Tun M pula akan hantar cadangan nama PM iaitu dia sendiri dengan sokongan 15 kerusi.

Pada masa ini pula blok PH akan mempunyai kerusi terbanyak dengan 90 kerusi, kedua blok PN dengan 75 kerusi, ketiga blok Umno dengan 42 kerusi dan terakhir blok Tun M dengan 15 kerusi.

Jadi di mana kekuatan Zahid untuk menawarkan diri jadi PM baharu atau PM interim?

Sekiranya didapati bahawa perlu kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akibat kebuntuan politik mungkin darurat akan diisytiharkan sekali lagi untuk mengelakkan PRU berlaku. Itu jangkaan penulis.

Jika itu berlaku, YDPA akan melantik PM interim untuk mentadbir negara sementara menunggu PRU. Biasanya yang akan dilantik PM yang sebelumnya iaitu Muhyiddin seperti Tun M memegang PM interim selepas PH menjatuhkan kerajaannya sendiri pada tahun lepas.

Jadi di mana logiknya Zahid yang akan jadi PM lepas Muhyiddin letak jawatan secara terhormat? Macam mana Zahid kira?

***Penulis adalah seorang editor, wartawan dan penganalisis politik.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo