KABUL: Tentera Amerika Syarikat (AS) berundur sepenuhnya dari Afghanistan, sekali gus menamatkan konflik selama 20 tahun yang bermula dan berakhir dengan Taliban berada di puncak kekuasaan, walaupun berbilion dolar dilaburkan bagi membina semula negara itu.
Berita itu diraikan dengan tembakan secara bertubi-tubi di Kabul awal pagi tadi dan pegawai kanan Taliban menyifatkan ia sebagai detik bersejarah.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata Afghanistan kini merdeka sepenuhnya dengan pengunduran tentera AS.
Pengunduran itu dibuat selepas tentera AS menggunakan baki hari terakhir untuk operasi memindahkan puluhan ribu rakyatnya dan warga Afghanistan yang pernah membantu misi perang AS sebelum ini.
Minggu lalu, sejumlah rakyat Afghanistan dan 13 anggota tentera AS terbunuh dalam serangan bom di Lapangan Terbang Kabul.
Kumpulan Daesh dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan insiden terbabit dilihat mendesak supaya pesawat tentera AS segera meninggalkan Kabul dan kemungkinan konflik lebih besar bagi Afghanistan di saat Taliban akan membentuk kerajaan baharu.
Presiden AS, Joe Biden memilih 31 Ogos sebagai tarikh akhir pengunduran sepenuhnya tentera negara itu selepas berdepan perang paling panjang mengakibatkan 2,400 tenteranya terkorban.
"Saya mengumumkan pengunduran tentera dari Afghanistan tamat sepenuhnya dan operasi memindahkan warga AS turut berakhir.
"Pengunduran bukan saja menandakan berakhirnya operasi perpindahan, tetapi berakhirnya misi hampir 20 tahun yang bermula di Afghanistan sejurus selepas 11 September 2001," kata Ketua Komando Pusat AS, Jeneral Kenneth McKenzie kepada wartawan semalam.
Menurutnya, penerbangan terakhir semalam dari Kabul berlepas pada waktu 7.29 malam waktu tempatan.
Awal bulan ini, Biden mengumumkan AS akan membawa pulang semua tenteranya menjelang 11 September iaitu ulang tahun ke-20 serangan pengganas 9/11 yang mendorong operasi ketenteraan Amerika. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857966/pengunduran-tentera-di-afghanistan-selesai-sepenuhnya
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/08/857966/pengunduran-tentera-di-afghanistan-selesai-sepenuhnya
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment