PAS setuju kerjasama rentas parti
KUALA LUMPUR: PAS amat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.
“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, kata beliau PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemic Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.
Tambahnya, PAS yakin dalam masa yang sama Kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.
“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selama di Pejabat Perdana Menteri atas jemputan beliau.
Menurut perdana menteri, pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Tambahnya, persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera. – HARAKAHDAILY 26/8/2021
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment