NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemulihan alam sekitar pasca pandemik melalui ekonomi kitaran




Dr Shahino Mah Abdullah

PENULARAN wabak covid-19 telah memberi impak yang amat besar kepada kesihatan awam dan sektor ekonomi. Rekod kes harian yang melonjak tinggi telah menyebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan beberapa kali sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak ini. Kesannya, pendapatan sebilangan besar rakyat dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) terjejas teruk ekoran penyusutan ketara aktiviti ekonomi. Dalam usaha menangani isu ini, pihak kerajaan telah memfokuskan perbelanjaan pemulihan yang besar dengan menyalurkan bantuan terus kepada kumpulan-kumpulan yang terjejas, sementara menggiatkan pemberian vaksin kepada rakyat seluruh negara.

Tumpuan pemulihan yang mendahulukan kesejahteraan hidup rakyat merupakan langkah ‘tindak balas’ yang paling utama. Ini kerana setiap rakyat adalah modal insan dan tunggak utama dalam menentukan hala tuju serta jatuh bangun sesebuah negara. Oleh itu, selain daripada bantuan kewangan secara terus yang bersifat sementara, rakyat yang terjejas juga perlu diberikan peluang kerjaya atau jalan untuk menjana kembali pendapatan bagi kelangsungan hidup dalam persekitaran yang lebih sihat. Adalah amat baik sekiranya langkah pemulihan kesejahteraan hidup rakyat pasca pandemik dapat disusuli dengan inisiatif ekonomi yang lebih mesra alam.

Model ekonomi baharu yang mengambil kira pemeliharaan alam sekitar adalah amat penting kerana model ekonomi konvensional terdahulu yang diamalkan sehingga kini adalah bersifat kurang lestari. Beberapa perubahan dan penambahan dalam amalan ekonomi semasa dapat memperbaik kelompangan yang ada sekali gus menangani isu terdahulu yang mendorong kepada pencemaran alam dari terus berlarutan. Usaha ini memerlukan masa, komitmen, dan penglibatan semua pihak termasuklah individu, industri, dan kerajaan. Sebaliknya. kegagalan merancang dan menguruskan aktiviti ekonomi dengan betul bukan sahaja akan mengancam alam sekitar, malah kesannya akan berbalik semula kepada manusia.

Ini dapat diperhatikan ketika wabak covid-19 menular, pencemaran plastik dari buangan sisa barangan terpakai seperti pelitup muka dan sarung tangan meningkat dengan ketara. Ia banyak ditemukan di tepi jalan, di dalam longkang, sungai dan juga di laut. Sisa buangan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan sekeliling malah menyebabkan longkang tersumbat dengan bau busuk sehingga mengundang haiwan perosak dan menggalakkan penyebaran penyakit. Ketika pandemik ini juga, ada pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan sisa buangan kotor termasuklah sisa kimia ke dalam sungai sehingga menjejaskan tadahan air lalu menyebabkan penduduk setempat kerap terputus bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

Bagi mengatasi masalah ini, pertama sekali, sikap buruk sedemikian mesti dibuang jauh daripada diri setiap individu tidak kira untuk kepentingan sendiri mahupun bertindak untuk pihak industri. Ini bertujuan memastikan setiap usaha pemulihan yang menyusul tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, pihak pengilangan barangan digalakkan untuk membuat produk berpatutan bersifat mesra alam yang boleh diguna semula atau diurai tanpa menghasilkan unsur sampingan yang beracun. Oleh itu, pihak pengeluar harus ‘memikirkan semula’ cara terbaik agar produk yang mereka hasilkan tidak hanya menjana keuntungan, akan tetapi dapat mengelak dari menjadi punca pencemaran alam.

Jika para pengguna digalak mengamalkan prinsip 3R (reduce, reuse, recycle) iaitu pengurangan pembaziran, guna semula, dan kitar semula, pihak pengeluar juga seharusnya mempunyai amalan serupa yang mesra alam untuk proses pembuatan dan pengeluaran produk mereka. Pihak pengilang perlu memperluas amalan 3R tersebut kepada 7R (rethink, reduce, reuse, repair, refurbish, recycle, recover) iaitu memikirkan semula, mengurangkan pembaziran, guna semula, memperbaik, memperbaharu, mengitar semula dan memulihkan. Setiap komponen 7R ini sebenarnya mengambil kira model ‘ekonomi kitaran’ yang akan menyokong kelestarian ekologi. Model ekonomi ini sentiasa memastikan setiap bahan, bahagian, dan produk yang terlibat dalam proses pembuatan akan digunakan dengan sepenuhnya semaksimum mungkin.

Pendekatan ‘ekonomi kitaran’ ini adalah berlawanan dengan aktiviti ekonomi konvensional yang bersifat linier atau searah, lazimnya dimulai dengan penggunaan sumber alam dan diakhiri sebagai sisa buangan yang dibazirkan. Sistem ekonomi konvensional yang mempraktikkan amalan ‘ambil, buat dan buang’ (take-make-waste) dalam penghasilan produk sememangnya tidak lestari kerana menyebabkan sumber alam terus menyusut di samping meningkatkan kapasiti tapak pelupusan sampah. Justeru, ‘ekonomi kitaran’ dapat menjadi salah satu jalan bagi mengelakkan penggunaan sumber alam yang tidak lestari serta membenarkan penjanaan semula sistem alam semula jadi.

Melalui prinsip 7R ini, pihak pengeluar perlu ‘memikirkan semula’ (rethink) keseluruhan proses menghasilkan produk mereka. Langkah pertama ini bukan sahaja melibatkan pembaikan model perniagaan mereka, malah, ia turut menggalakkan inovasi baharu dengan sekurang-kurangnya ‘mereka semula’ (redesign) produk berkenaan agar dapat menjimatkan sumber pembuatan, lebih cekap tanpa pembaziran yang tidak perlu, boleh dikitarkan semula atau diurai, dan tidak mencemarkan alam. Dengan penggunaan sumber yang sedikit melalui langkah ‘memikirkan dan mereka semula’, ia akan membuka ruang kepada prinsip kedua iaitu ‘mengurangkan’ (reduce) sumber buatan agar mudah dicapai, sekali gus menjimatkan kos pembuatan serta mampu meningkatkan nisbah keuntungan. Produk ini juga perlu dibuat untuk lebih tahan lama supaya dapat ‘mengurangkan’ kekerapan pengguna membuat belian produk yang sama.

Pengeluar utama yang sentiasa menjaga kualiti kilang dan pengeluaran produk mereka akan membuat gantian mesin dan perkakasan yang lama selepas tempoh tertentu mengikut perkembangan teknologi semasa. Barangan lama yang masih berfungsi dengan baik boleh ‘digunakan semula’ (reuse) seharusnya dipindah milik kepada institut kajian tertentu, atau dijual murah kepada pengeluar kecil yang lain terutamanya yang baru mencebur diri dalam industri berkenaan, dan boleh juga dijual di pasaran barangan terpakai kepada pengguna biasa yang memerlukan. Langkah ‘guna semula’ ini dapat dimanfaatkan oleh institusi tertentu, pemilik perniagaan yang baru, dan pengguna biasa selain daripada mengelakkan pembaziran, mengurangkan pencemaran alam, dan dapat menjana pendapat tambahan.

Mesin dan perkakasan yang masih dalam tempoh jaminan perlu diselenggarakan dengan baik dan mesti ‘diperbaik’ (repair) sekiranya bermasalah. Penyelenggaraan yang mengikut jadual dan amalan ‘memperbaik’ mampu memanjangkan kualiti barangan sehingga menjangkau tempoh jaminan. Tentunya, ini akan membolehkan pengeluar menggunakan peralatan yang ada lebih lama lagi, menjimatkan modal dan proses pembuatan, serta dapat mengekalkan prestasi barangan sekiranya merancang untuk dijual kelak. Langkah ini berkait rapat dengan prinsip berikutnya iaitu ‘memperbaharu’ (refurbish) yang akan membolehkan transformasi produk terpakai dengan penggantian komponen tertentu sahaja supaya ia beroperasi dengan lebih baik setara dengan barangan keluaran terbaharu.

Seterusnya, ‘kitar semula’ (recycle) perlu dilakukan apabila barangan berkenaan tidak dapat diperbaik atau pun diperbaharui semula. Untuk tujuan ini, barangan berkenaan mesti diceraikan dahulu. Daripada kesemua komponen tersebut, ada yang boleh diguna semula, ada juga yang boleh dikitar semula dan ada yang tidak boleh dimanfaatkan lagi. Bagi bahagian yang tidak berguna ini, ia mestilah ‘dipulihkan’ (recover) melalui proses penjanaan tenaga sebagai bahan bakar atau gasifikasi. Langkah terakhir dalam prinsip ‘ekonomi kitaran’ ini bukan sahaja dapat mengurangkan buangan sisa barangan ke tapak pelupusan, malah ia dapat dimanfaatkan semula sebagai tenaga yang digunakan kembali dalam sektor pembuatan berkenaan.

Kesemua prinsip dan proses yang disebutkan di atas bukanlah sesuatu yang idealis semata-mata dan sukar dilaksanakan. Ia telah berjaya dipraktikkan di negara Eropah seperti Sweden sehingga ke tahap mengimport sisa buangan negara lain masuk ke negaranya untuk ditukarkan kepada tenaga. Model ekonomi seperti ini bukanlah baharu dan boleh terus pelajari daripada contoh kejayaan yang telah dikongsi bagi mengekalkan kelestarian alam selain memperkuat ekonomi negara. ‘Ekonomi kitaran’ yang melibatkan proses-proses tertentu mengikut prinsip yang disebutkan tentunya memerlukan tenaga kerja yang ramai dan ini akan membuka banyak peluang kerjaya kepada rakyat. Ia boleh menjadi strategi industri di masa akan datang, dalam pemulihan ekonomi negara pasca pandemik, sekiranya negara ini ingin terus berstatus negara maju yang memperkasa kelestarian alam dalam menjana pendapatan dan membela nasib rakyat tidak kira apa jua cabaran yang mendatang.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo