Tun Abdul Hamid Omar merupakan bekas Ketua Hakim Negara Malaysia |
Mengikut Perkara
150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong) pada masa
proklamasi
darurat
sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat kuasa:
1. Apabila ia dibatalkan (revoked)di
bawah
Fasal (3).
2. Apabila ia diungkaikan
(annulled) di bawah Fasal (3);
3. Apabila ia luput (lapses) di bawah Fasal
(7).
Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Kabinet.
Acaranya samalah seperti sesuatu ordinan itu dibuat, iaitu Kabinet memutuskan
untuk mengadakan ordinan itu dan menyembahnya kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan dan pemasyhuran Baginda. Apabila Baginda
memberi perkenan dan memasyhurkannya, maka berkuatkuasalah ordinan itu. Dalam
hal ini Baginda bertindak atas nasihat Kabinet. Nasihat itu mestilah diikuti.
Itu sistem Raja berperlembagaan.
Demikian jugalah dengan pembatalannya. Kabinet membuat keputusan untuk
membatal sesuatu ordinan pada tarikh tertentu dan menyembahnya kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda. Ordinan itu dibuat dengan
perkenan Baginda, maka tentulah untuk membatalnya perkenan Baginda juga
diperlukan. Takkanlah pada masa hendak membuatnya perkenan Baginda dipohon,
apabila hendak dibatalkannya Baginda dikebelakangkan. Akibatnya, Baginda tidak
tahu bahawa ordinan-ordinan yang dimasyhurkan Baginda telah pun dibatalkan.
Ungkaian dilakukan oleh kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat
dan Dewan Negara. Ordinan berkenaan dibentang, dibahas dan diungkai oleh
kedua-dua Dewan dan terungkailah ia. Perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak
diperlukan.
Sesuatu ordinan itu luput apabila habis tempoh enam bulan yang bermula
dengan tarikh sesuatu Proklamasi
Darurat terhenti berkuat kuasa. Dalam
kata-kata lain, apabila tempoh darurat tamat, enam bulan selepas itu
ordinan-ordinan yang dibuat semasa darurat itu berkuatkuasa pun luput dan tidak
berkuatkuasa lagi
Ada orang menghujahkan ada satu cara lagi, iaitu menurut Klausa (4A)
Perkara 66:
“(4A) Jika sesuatu
Rang Undang-Undang tidak diperkenankan
oleh Yang
di-Pertuan Agong
dalam masa
yang ditentukan
dalam Fasal (4),
Rang Undang-Undang
itu hendaklah
menjadi undang-undang
apabila habis
masa yang
ditentukan dalam
Fasal itu mengikut
cara yang sama
seolah-olah dia telah memperkenankannya.”[i]
Dengan hormat, saya berpendapat peruntukan itu tidak terpakai kepada
pembatalan, pengungkaian dan luputnya ordinan-ordinan yang dibuat semasa
sesuatu perisytiharan darurat berkuatkuasa. Alasan saya ialah Klausa (4A) terdapat
dalam Perkara 66, mengenai
“Penjalanan kuasa perundangan” (Exercise
of legislative power) yang memperuntukkan bagaimana sesuatu rang undang-undang
itu menjadi undang-undang. Perbincangan sekarang adalah mengenai pembatalan
ordinan-ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas
nasihat Kabinet dalam masa deklarasi darurat berkuatkuasa. Ia terletak dalam Bab
lain langsung dan dalam satu perkara khusus mengenainya.
Apa yang berlaku dalam hal ini? Ia menjadi lebih
jelas dengan tersebarnya kenyataan media oleh Istana Negara dan Pejabat Perdana
Menteri dan surat yang ditulis oleh Yang di-Pertuan
Agong kepada Perdana Menteri. Hal seperti itu tidak pernah berlaku dalam
sejarah Malaysia, malah, saya percaya, di negara-negara raja berperlembagaan di
mana sekalipun (saya sedia dibetulkan) dan tidak sepatutnya berlaku. Tetapi,
oleh sebab ia telah berlaku, biarlah kita mengambil manfaat daripadanya.
Dokumen-dokumen itu memberi gambaran yang jelas tentang apa yang telah berlaku.
Inilah kronologinya:
Berdasarkan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, Kerajaan
telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021
Pada 21 Julai 2021 Jemaah Menteri, dalam
mesyuaratnya membuat keputusan tidak akan menasihati Yang
di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu setelah darurat sedia
ada tamat pada 1 Ogos 2021.
Dalam mesyuarat itu juga, Jemaah
Menteri memutuskan untuk
menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang
dibuat semasa deklarasi darurat itu berkuatkuasa.
Pada 22 Julai 2021 Pejabat Perdana Menteri telah menerima
deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam
Negara. Ordinan
itu memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan
Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.
Pada 23 Julai 2021 Pejabat Perdana
Menteri menyampaikan dokumen-dokumen tersebut kepada Istana Negara untuk
mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada 24 Julai 2021 dokumen-dokumen
tersebut telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menelitinya, Baginda
menitahkan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen
dan Undang-Undang), Dato Seri Takiyuddin Hassan (DS Takiyuddin Hassan) dan
Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) untuk menghadap Baginda
secara maya.
Semasa sesi menghadap secara maya itu Baginda
menitahkan, antara lain:
1. (Baginda) Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan
tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari
sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan ianya diwartakan.
2. (Baginda) Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan
tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
3. Proklamasi dan
Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkalkan di Parlimen
selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
4. Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan
penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang
telah dikeluarkan di bawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25
Julai 2021.
Apabila
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat
telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan
Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli-Ahli
Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan
ordinan-ordinan darurat tersebut. Susulan itu, DS Takiyuddin Hassan telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli
Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri,
telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.
Kenyataan itu
telah disambut dengan bantahan daripada pihak pembangkang.
Pada 29 Julai 2021, Istana
Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja
yang, antara lain, mengatakan:
“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara
150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan
dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda
menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen
pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan
Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal
pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan
rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada DS
Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-Undang) dan TS Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara
maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua
Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan
telah tidak dilaksanakan.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa
kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak
tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan
bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021
yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan
kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal
menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara
malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua
Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka Baginda sedia maklum akan
perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung
dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan
pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk
menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak
berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi
dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong.”
Pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong menulis sepucuk
surat kepada Perdana Menteri. Dalam surat itu Baginda membawa perhatian Perdana
Menteri kepada kenyataan DS Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada 26 Julai
2021 bahawa Kerajaan telah membatalkan kesemua ordinan-ordinan darurat itu.
Seterusnya, Baginda telah menyatakan apa yang telah berlaku
pada 23 dan 24 Julai 2021 yang telah diperturunkan di atas diikuti dengan empat
perkara yang Baginda titah dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai
2021 itu yang juga telah diperturunkan di atas.
Baginda menyatakan Baginda berasa amat dukacita cadangan Baginda
bahawa pembatalan ordinan-ordinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen
telah tidak dituruti.
Baginda menyatakan bahawa DS Takiyuddin Hassan telah
memberi kenyataan yang bercanggah dan tidak tepat di Dewan Rakyat pada 26 Julai
2021 dan kenyataan itu telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Baginda menarik perhatian Perdana Menteri bahawa Baginda
sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri
seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung
pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut pada hemat Beta sewajarnya
mengambil kira akan situasi-situasi semasa seperti berikut:
1. Cadangan pembatalan ini telah disembah lewat kepada Beta iaitu pada
24 Julai 2021. Tambahan pula, ianya terlalu hampir dengan tarikh persidangan
Parlimen yang telah semua sedia maklum bakal bermula pada 26 Julai 2021.
2. Sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa
dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya menzahirkan impak negatif kepada
Beta.
3. Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dilakukan dengan membelakangi
fungsi dan kuasa Beta selaku Ketua Negara seperti yang terkandung di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
4. Tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah
dikebelakangkan atau retrospective dengan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021
manakala permohonan diterima pada 23 Julai 2021.
5. Pembatalan Ordinan Darurat adalah merupakan kuasa perlembagaan Beta
dan bukannya terletak di atas kuasa Jemaah Menteri semata-mata.
Berdasarkan huraian-huraian di atas dan sidang
Parlimen yang kini sedang berlangsung, Beta menitahkan agar cadangan pembatalan
Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum
ditandatangani oleh Beta.”
Ahli-Ahli Parlimen pembangkang,
termasuk Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir, DS Zahid Hamidi,
Presiden UMNO melompat dan menyerang DS Takiyuddin
Hassan, Perdana Menteri dan Kerajaan PN. Mereka menuduh DS Takiyuddin
Hassan mengelirukan dan berbohong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menuntut DS Takiyuddin Hassan, Perdana Menteri, dan semua
Ahli-Ahli Jemaah Menteri meletak jawatan. Ada yang melaung “menghina” dan “derhaka”
dalam Dewan Rakyat.
Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana
Menteri mengeluarkan kenyataan. Beliau mengatakan bahawa kenyataan Yang
di-Pertuan Agong itu menunjukkan bahawa TS Muhyiddin telah berbohong kepada Parlimen
berkenaan pembatalan ordinan-ordinan darurat; TS
Muhyiddin patut tahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalnya
sendiri, namun kenyataan dibuat dalam Parlimen seolah-olah beliau mempunyai kuasa
sedangkan kuasa mengenainya terletak dalam tangan Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya
semasa darurat; walaupun kenyataan itu dibuat oleh DS Takiyuddin Hassan, TS
Muhyiddin tidak boleh melepaskan dirinya daripada bertanggungjawab mengenainya;
TS Muhyiddin tidak mencuba untuk membetulkan DS Takiyuddin Hassan semasa
membuat kenyataan itu atau menahannya walaupun beliau duduk betul-betul di
hadapan DS Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat dan beliau tidak pula membuat
apa-apa penjelasan selepas itu; TS Muhyiddin dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri bertanggungjawab di atas
perbuatan yang memalukan itu dan kesemua mereka hendaklah meletak jawatan.
Pada hari yang sama (29 Julai
2021) Pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan kenyataan media. Kenyataan
media itu menurunkan kronologi peristiwa daripada 21 Julai 2021 hingga 26 Julai
2021 yang saya telah perturunkan di atas.
Kenyataan itu menekankan bahawa
ordinan-ordinan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat
Jemaah Menteri tanpa perlu diungkai oleh Parliman dan apa yang telah dilakukan
oleh Jemaah Menteri itu adalah betul di sisi undang-undang. Kenyataan itu juga
menekankan bahawa dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut
nasihat dan memetik Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan.
Pada 30 Julai 2021, Setiausaha
Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan bahawa persidangan Dewan Rakyat pada 2 Ogos
2021, iaitu persidangan hari terakhir dan pada hari itu DS Takiyuddin Hassan dijadualkan
memberi penjelasan mengenai kenyataannya pada 26 Julai 2021, telah
ditangguhkan.
Pada 3 Ogos 2021, TS Muhyiddin mengeluarkan satu
kenyataan mengatakan bahawa “proses
pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23
Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.
Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1
Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan
ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
tidak lagi berbangkit .
Maka, selaras dengan titah pandangan KDYMM
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3)
Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya
mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang
Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021.”
Sekarang mari
kita lihat semula kronologi peristiwa yang berlaku dan menganalisisnya satu per
satu semata-mata dari perspektif undang-undang dan tiada yang lain. Kita mula
dari 21 Julai 2021. Setelah bersetuju dangan saranan Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu (di sisi undang-undang Raja-Raja Melayu tiada peranan dalam
hal ini), Kerajaan menetapkan tarikh persidangan Dewan Rakyat.
Maka, di
mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021, Jemaah Menteri membuat keputusan
tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat
baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021. Tiada masalah di sini.
Ertinya darurat akan berakhir pada 1 Ogos 2021.
Apa yang
dilakukan kepada ordinan-ordinan yang dibuat dan berkuatkuasa semasa darurat?
Ambil perhatian
peruntukan Perkara 150( 3):
“(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan
di
bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa
jika ketetapan
diluluskan oleh
kedua-dua Majlis yang mengungkaikan
Proklamasi
atau ordinan itu…..”[ii]
Ordinan-ordinan itu
hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Ini dilakukan pada
hari pertama Dewan Rakyat bersidang, di Dewan Rakyat. Kehendak itu dipatuhi.
Jika ia terlebih
dahulu dibatalkan, maka ia telah terhenti berkuatkuasa. Itulah yang hendak
dilakukan oleh Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021.
Ingat semula
bahawa satu daripada cara ordinan-ordinan itu boleh diberhentikan daripada
berkuatkuasa ialah apabila ia dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas
nasihat Jemaah Menteri. Ia perlu dilakukan sebelum Parlimen bersidang. Itulah
yang dilakukan oleh Jemaah Menteri dengan membuat keputusan untuk menasihati
Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa
perisytiharan darurat itu berkuatkuasa.
Pada
23 Julai 2021 deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh
Jabatan Peguam Negara dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Itu adalah acaranya. Ia telah
dilakukan dengan betul.
Esoknya, pada 24 Julai 2021, Yang
di-Pertuan Agong menerima dokumen tersebut. Jemaah Menteri, memahami bahawa Yang di Pertuan Agong akan bertindak atas nasihat,
mengharapkan Baginda akan bertindak atas nasihat seperti yang dikehendaki oleh
Perlembagaan dan memberi perkenan pada 24 atau 25 Julai 2021, iaitu sebelum
Dewan Rakyat bersidang pada 26 Julai
2021. Jika itu dilakukan, tiada masalah akan timbul.
Masalah
timbul apabila Yang di Pertuan Agong, sambil mengakui bahawa Baginda perlu
bertindak atas nasihat menurut Perkara 40(1) (tetapi tidak menyebut Klausa
(1A)), Baginda percaya bahawa Baginda mempunyai hak untuk menganalisis dan
berunding dengan Raja-Raja Melayu (dan juga, saya percaya, dengan penasihat
undang-undang Baginda), maka masa yang diberi kepada Baginda tidak mencukupi.
Maka Baginda enggan menurunkan tandatangan untuk memberi perkenan Baginda. Ini
berlarutan hingga ke 26 Julai 2021, hari Dewan Rakyat mula bersidang malah
hingga hari saya mengeluarkan rencana ini (5 Ogos 2021). Maka tergantunglah
pembatalan ordinan-ordinan itu.
Dari
sini kita dapat lihat bahawa masalah ini timbul daripada salah faham mengenai
maksud bertindak atas nasihat. Maka, kita perlu beri tumpuan kepada persoalan
itu sekarang. Tetapi, saya perlu peringatkan lagi sekali bahawa perbincangan
ini semata-mata berbincang mengenai tafsiran peruntukan Perlembagaan yang sedia
ada dan bukan apa-apa selain daripada itu.
Dalam
hal ini, kita perlu kembali kepada Perkara 40(1) dan (1A):
“Perkara 40
- Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.
(1) Pada
menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan,
Yang di-Pertuan Agong hendaklah
bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri
yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang
diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan
Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat
berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati
oleh
Jemaah Menteri.[iii]
(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini
atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan
Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas
menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak
mengikut nasihat itu.”[iv]
Ringkanya, Perkara 40(1) mengatakan, selain daripada
perkara-perkara yang Yang di- Pertuan Agong mempunyai budibicara (memberi
perkenan untuk membatalkan ordinan darurat bukanlah satu daripadanya), Baginda
hendaklah bertindak mengikut
nasihat Jemaah Menteri. Pelajar-pelajar undang-undang perlembagaan tahu bahawa
peruntukan itu diambil daripada sistem raja berperlembagaan United Kingdom.
Walaupun perkataaan nasihat (advice) digunakan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mematuhinya dan melaksanakannya. (Takkanlah hendak digunakan perkataan “atas arahan” (as
directed”) atau “atas perintah” (as ordered) oleh Jemaah Menteri
terhadap Yang
di-Pertuan Agong), Tetapi, Baginda “berhak,
atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh
Jemaah Menteri.”
Perhatikan, sebelum
berkenan, Baginda cuma berhak mendapat
maklumat, itu pun mengenai dengan pemerintahan Persekutuan dan yang boleh
didapati oleh Jemaah Menteri. Ertinya maklumat-maklumat hendaklah diminta
daripada Jemaah Menteri. Itu sahaja. Jika itu yang dipohon, saya percaya Jemaah
Menteri dapat memberinya. Jika Jemaah Menteri tidak boleh mendapatinya, maka Baginda
kenalah memberi perkenan Baginda. Itu acara yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
Jika ia difahami dan diikuti, Klausa (1A) tidak perlu ditambah.
Tetapi, dalam tahun 1994, kerajaan
pada masa itu mendapati Klausa (1) sahaja tidak memadai untuk difahami maksud
yang sebenar. Maka pindaan dibuat kepada Perkara 40 dengan memasukkan Klausa
(1A). Pindaan ini dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 66 yang disebut
di atas. Pindaan ini dibuat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Di
Parlimen, entah mengapa, cadangan dibuat oleh DS Anwar Ibrahim, Timbalan
Perdana Menteri pada masa itu.
Ucapan DS Anwar, seperti yang dilaporkan dalam Hansard, menjelaskan
mengapa pindaan kepada Perkara 40 itu
dibuat. Antara lain katanya:
“Pindaan
ini akan menjelaskan maksud sebenar nasihat, ungkapan dengan izin, act in
accordance with advice, supaya tidak ada lagi kesamaran terhadap prinsip
demokrasi berparlimen dan prinsip bahawa Kerajaan perlu bertindak mengikut kehendak rakyat.”
Kata-kata “Kerajaan perlu
bertindak mengikut kehendak rakyat” dalam konteks
ayat ini adalah tidak berkenaan. Beliau sepatutnya berkata “Yang di-Pertuan Agong perlu
bertindak mengikut kehendak Jemaah Menteri.” Jika Tun Dr. Mahathir mengelak
daripada mencadangkan pindaan itu di dalam Parlimen dan menggunakan DS Anwar
untuk melakukannya, mungkinkah DS Anwar juga merasa seram untuk menyebut
kata-kata yang saya sebut itu, dan melindungkannya dengan kata-kata “Kerajaan
perlu bertindak mengikut kehendak rakyat” yang tidak berkenaan itu.
Kedua-dua
Tun Dr. Mahathir dan DS Anwar Ibrahim masih ada dalam Parlimen dan duduk di
sebelah yang sama. Kita boleh bertanya mereka apakah yang menyebabkan pindaan
itu dibuat dan apakah maksud yang mereka
mahu sebenarnya. Kita juga masih boleh bertanya kepada TS Abu Talib
Othman, Peguam Negara pada masa itu yang menggubal rang undang-undang pindaan
itu. Kita juga boleh bertanya Tengku Razaleigh Hamzah yang menentang keras
pindaan itu mengapa beliau berbuat demikian. Kita juga boleh baca dalam
Hansard.
Perlu
juga diingati, pada masa itu Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah
Ghafarullahu-lah, mantan Ketua Hakim Negara. Baginda semestinya faham apa
ertinya kata-kata “atas nasihat” dalam undang-undang. Klausa (1A) tidak perlu
dimasukkan jika orang-orang seperti Baginda yang menjadi Yang di-Pertuan Agong sepanjang masa.
Setakat yang kita tahu, Baginda tidak menentang atau enggan memberi perkenan
kepada pindaan ini. Ini bererti Baginda sendiri menyedari, dalam konteks
Malaysia, penjelasan seperti itu adalah perlu.
Tetapi, Baginda telah mangkat dan tidak
boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong yang sedia ada dan memberi
pencerahan kepada kita semua.
Walau bagaimana pun, Tun Dr. Mahathir dan
DS Anwar Ibrahim masih ada. Mereka sepatutnya tampil ke hadapan dan menjelaskan
bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat dan apa maksudnya
“atas nasihat” mengikut pindaan yang dimasukkan oleh mereka. Masalah akan
selesai di situ.
Tetapi, oleh sebab mereka berada di
pihak pembangkang dan politik lebih penting kepada mereka, mereka mengambil
kesempatan untuk mengkritik Kerajaan, menggunakan kenyataan Istana Negara yang
berbangkit dari salah faham atau salah nasihat itu untuk mendesak Perdana
Menteri dan Jemaah Menteri meletak jawatan. Nampaknya, dalam politik, kuasa
lebih penting daripada kebenaran.
Tidak cukup dengan itu, pada hari saya
menulis ayat inI (2 Ogos 2021) semasa beliau sedang menunjuk perasaan di
bangunan Parlimen kerana persidangan ditangguh, saya menerima berita bahawa
beliau kesal membuat pindaan itu. Nampaknya, apabila berada di pihak
pembangkang, satu demi satu beliau menyesal apa yang telah dilakukannya semasa
menjadi Perdana Menteri. Bagaimana jika beliau menjadi Perdana Menteri semula?
Pada pagi 5 Ogos 2021, semasa saya
menyemak rencana ini sebelum diterbitkan, keluar pula berita bahawa Tun Dr.
Mahathir meminta maaf atas kesilapannya menyertai tunjuk perasaan itu.
Nampaknya, atas pengakuan beliau sendiri pun (termasuk pendakwaan DS Anwar
dalam kes liwat pertama) beliau telah membuat terlalu banyak kesilapan.
Biar apa pun, hakikat bahawa beliau menyesal membuat
pindaan itu tidak bererti pindaan itu sudah tidak berkuatkuasa lagi. Peruntukan
itu masih ada, masih berkuatkuasa dan kesan mestilah diberi kepadanya. Untuk
mentafsir peruntukan Perlembagaan, kita tidak perlu bertanya sesiapa. Kita hanya perlu melihat perkataan yang digunakan.
Maka marilah kita lihat apa yang dikatakan oleh Klausa (1A)
itu:
“jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut
nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang
di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.
Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: apabila
dinasihatkan berbuat sesuatu, buat. Apa yang saya katakan ini hanya
berkenaan perkara yang Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat
sahaja. Siapa yang tidak suka, marahlah Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim
yang memasukkan Klausa (1A) itu. Tetapi, sama ada ia dimasukkan atau tidak,
itulah maksudnya.
Suka atau tidak, selagi peruntukan-peruntukan itu ada, ia
mesti dipatuhi. Penasihat-penasihat undang-undang peribadi Yang di-Pertuan
Agong dan ahli-ahli akademik tidak sepatutnya membuat tafsiran dengan menambah
apa yang mereka fikir patut ada (what they think it should be). Ia
hendaklah ditafsir berdasarkan peruntukan yang ada (as it is). Jika mereka
mahukan apa yang mereka mahu, pindalah Perlembagaan terlebih dahulu.
Peruntukan umum seperti Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan) dan Perkara 39 (Kuasa eksekutif
Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan
Agong) tidak boleh digunakan untuk menambah atau mengurangkan apa yang
disebut dengan khusus oleh Perkara 40(1) dan (1A). Juga dalam tafsiran Perkara 40(1) dan (1A), tidak ada ruang untuk membawa masuk
konsep Raja Payung Negara atau derhaka.
Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja tidak
memberi perkenan Baginda untuk membatalkan ordinan-ordinan itu, seterusnya,
pada 24 Julai 2021 Baginda menitahkan kepada DS Takiyuddin dan Peguam Negara
bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan
dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan. Dalam kenyataan media 29 Julai
2021, Baginda menyatakan dukacita Baginda kerana titah Baginda
telah tidak dilaksanakan.
Dengan penuh taat setia kepada Baginda dan
dengan penuh hormat kepada semua, itu bukanlah salah satu perkara yang disebut
oleh Perkara 40(1). Perkara 40(1) Baginda hanya “berhak,
atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan
Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.”
Lagi pula, jika Baginda
dikehendaki memberi perkenan apabila dinasihatkan tertakluk kepada hak untuk
meminta maklumat di bawah Perkara 40(1), Baginda membalasnya dengan titah
supaya ordinan-ordinan itu dibentang dan dibahaskan di
Parlimen, ia bererti, pertama, Baginda telah tidak mematuhi peruntukan Perkara
40(1) dan (1A) untuk memberi perkenan.
Kedua, Baginda telah menolak satu cara yang dibenarkan oleh
Perkara 150(3) untuk menamatkan kuatkuasa ordinan-ordinan itu iaitu membatalnya
sebelum Parlimen bersidang.
Ketiga, tanpa diberi kuasa oleh mana-mana peruntukan, Baginda
telah menitahkan ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen dan menghendakinya
dilaksanakan.
Keempat, jika nasihat Jemaah Menteri perlu diikuti oleh Baginda
dan titah Baginda yang bercanggah juga perlu diikuti oleh Jemaah Menteri, bagaimana
percanggahan itu boleh diselesaikan?
Kelima, manakala Perlembagaan menyebut Baginda perlu
bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, tidak disebuat di mana-mana dalam
Perlembagaan bahawa Jemaah Menteri perlu bertindak atas nasihat Yang di-Pertuan
Agong.
Baginda juga melahirkan dukacita bahawa tidak diberikan
masa yang secukupnya untuk menganalisis cadangan itu (tentulah dengan
penasihat-penasihat Baginda) dan berunding dengan Raja-Raja Melayu. Dengan
penuh taat setia saya katakan kedua-dua perkara itu bukanlah yang disebut dalam
Perkara 40(1) dan (1A) sebagai hak Baginda. Baginda boleh melakukannya tetapi ia tidak
boleh menjadi alasan untuk tidak memberi perkenan kerana tidak sempat berbuat
demikian kerana itu bukanlah hak yang diberikan kepada Baginda oleh
Perlembagaan.
Jika Baginda mematuhi Perkara 40(1) dan (1A), dengan penuh
taat setia, pada pandangan saya, Baginda mempunyai masa yang cukup untuk
memberi perkenan sebelum 26 Julai 2021 dan tiada apa-apa masalah akan timbul.
Soal tarikh berkuatkuasa dikebelakangkan kepada 21 Julai 2021
tidak menimbulkan apa-apa masalah. Ia perkara biasa. Jika Baginda mahu ia
berkuatkuasa pada hari Baginda memberi perkenan pun, katakanlah pada 25 Julai
2021, walau pun Jemaah Menteri tidak perlu bersetuju, saya fikir ia tidak
menjadi masalah kepada Jemaah Menteri untuk menyetujuinya, kerana Ordinan
Darurat (Pembatalan) 2021 itu masih sah kerana ia dibuat sebelum Parlimen bersidang.
Sampai pagi 26 Julai 2021, ordinan-ordinan itu masih belum
diperkenankan untuk dibatalkan. Maka ia masih belum dibatalkan dan masih
berkuatkuasa.
Apabila Dewan Rakyat bersidang pada 26 Julai 2021, semua
ordinan itu dibentangkan (laid) di dewan itu seperti yang dikehendaki oleh
Perkara 150(3) tetapi bukan untuk dibahaskan.
Didesak oleh pembangkang, DS Takiyuddin berkata
“Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan
darurat berkenaan.”
Kenyataan ini telah difahami
sebagai Jemaah Menteri telah membatalkan ordinan-ordinan itu. Maka riuh rendahlah
Dewan Rakyat. Pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim dan
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mempersoalkan kuasa Jemaah Menteri
untuk membatal ordinan-ordinan itu. Mereka menggunakan isu itu untuk mendesak
Perdana Menteri dan Jemaah Menteri meletak jawatan.
Mari kita perhati dengan
teliti di mana kesilapan DS Takiyuddin Hassan?
Beliau hanya tertinggal lima perkataan “untuk menasihatkan Yang
di-Pertuan Agong”. Itu sahaja. Dalam keadaan terdesak itu beliau boleh dimaafkan.
Malangnya, dalam keadaan riuh rendah yang berikut itu, beliau tidak teringat
untuk membetulkan kesilapannya dan tiada siapa pun, termasuk Perdana Menteri,
yang duduk di hadapan beliau teringat untuk membantu beliau dengan membetulkan kesilapannya
itu.
Apatah lagi, media, terutama
sekali yang pro-pembangkang, dan pembangkang yang hanya menunggu peluang untuk
mengambil alih kuasa, membesar-besarkan kenyataan DS Takiyuddin Hassan itu
untuk faedah mereka.
Maka, setiap hari selepas
itu, kenyataan itulah yang menjadi tumpuan. Lebih memburukkan keadaan, pada 29
Julai 2021 Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media dan Yang di-Pertuan
Agong pula menulis surat kepada TS Muhyiddin yang kandungan kedua-duanya telah
saya perturunkan di atas.
Kita tidak tahu siapakah yang
menasihatkan dan menggubal dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh Istana Negara
itu yang telah membelakangkan sama sekali peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang saya telah bincang di atas.
Tidak kira siapa mereka dan apa tujuan mereka, mereka telah melakukan satu disservice
kepada Yang di-Pertuan Agong, sistem raja berperlembagaan dan negara. Yang
untung adalah pembangkang dan mungkin mereka sendiri.
Sebenarnya,
kesilapan DS Takiyuddin itu adalah satu kesilapan yang sangat kecil. Malangnya
sehingga Parlimen ditangguhkan ia tidak dibetulkan. Beliau boleh meminta maaf kepada
Ahli-Ahli Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau telah tersilap
cakap. Maksud beliau sebenarnya ialah “Jemaah Menteri memutuskan untuk
menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang
dibuat semasa perisytiharan darurat itu berkuatkuasa.”
Mengenai ordinan-ordinan itu, biar siapa pun yang betul,
ordinan-ordinan itu masih belum dibatalkan dan Parlimen telah pun ditangguh.
Tetapi, pada 3 Ogos
2021 TS Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa “suatu usul untuk
membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh
dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September
2021.”
Itulah yang saya
hendak cadangkan pun. Masalah akan selesai.
Kesimpulan
Adalah amat
mendukacitakan bahawa semasa negara sedang menghadapi pandemik Covid-19 yang
amat teruk dan segala usaha sepatutnya ditumpukan untuk menangani masalah itu,
kita berbalah mengenai acara menamatkan kuatkuasa ordinan-ordinan darurat.
Tiada siapa sukakan deklarasi darurat. Tiada siapa membantah ordinan-ordinan
darurat hendak ditamatkan kuatkuasanya. Tetapi kita berbalah bagaimana penamatan
kuatkuasa ordinan-ordinan itu hendak dilakukan hingga hendak menjatuhkan
kerajaan yang sedia ada. Kesilapan
Menteri yang begitu kecil dalam penjelasannya dalam Dewan Rakyat
diperbesar-besarkan sedangkan kegagalan mematuhi peruntukan Perlembagaan yang
jelas tidak diberi perhatian.
Apa yang menjadi
tumpuan pembangkang sekarang, disokong pula oleh UMNO kumpulan DS Zahid Hamidi
dan DS Najib dan penyokong-penyokong mereka ialah bagaimana hendak menjatuhkan Kerajaan.
Pemimpin-pemimpin DAP sudah nampak peluang baru untuk berkuasa semula dan mula
membuat tuntutan. Pemuda MCA tidak mahu ketinggalan dan turut serta. Pakatan
Harapan hendak berkuasa semula.
Jika Kerajaan tumbang
kerananya, ini akan menjadi satu misalan dalam sejarah negara raja
berperlembagaan di mana, sebuah kerajaan telah diguling kerana melakukan suatu
perkara yang betul mengikut Perlembagaan tetapi menterinya tertinggal lima
perkataan semasa memberi penjelasan di dalam Parlimen, manakala raja berperlembagaan
tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan mengenai bertindak atas nasihat dan
pembangkang mengambil kesempatan menumbangkan kerajaan dan berkuasa semula!
Saya sedar, saya
mungkin dituduh “menghina” atau “menderhaka kepada” Yang di-Pertuan Agong lagi.
Tetapi, ini adalah isu tafsiran Perlembagaan. Soal menghina dan derhaka tidak
timbul. Jika tidak besetuju, kemukakanlah hujah-hujah yang lebih baik dan saya akan
bersetuju dengannya.
05 08 2021
[i] (4a) If a Bill is not assented to by the
Yang di-Pertuan Agong within the time specified in Clause (4), it shall become
law at the expiration of the time specified in that Clause in the like manner
as if he had assented thereto.
[ii] (3) A Proclamation of Emergency and any
ordinance promulgated under Clause (2b) shall be laid before both Houses of
Parliament and, if not sooner revoked, shall cease to have effect if
resolutions are passed by both Houses annulling such Proclamation or
ordinance,…
[iii] 40. (1) In the
exercise of his functions under this Constitution or federal law the Yang
di-Pertuan Agong shall act in accordance with the advice of the Cabine or of a
Minister acting under the general authority of the Cabinet, except as otherwise
provided by this Constitution; but shall be entitled, at his request, to any
information concerning the government of the Federation which is available to
the Cabinet.
[iv] (1A) In the exercise of his functions
under this Constitution or federal law, where the Yang di-Pertuan Agong is to
act in accordance with advice, on advice, or after considering advice, the Yang
di-Pertuan Agong shall accept and act in accordance with such advice.
No comments
Post a Comment