NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelantikan semula Tengku Zafrul mampu lonjak pasaran modal


28 OGOS : Pelantikan semula Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dilihat dapat memberi impak positif bagi pasaran modal, perniagaan dan rakyat secara umumnya kerana ia memupuk keyakinan terhadap kesinambungan dasar negara.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan Bernama sebagai berkata, dengan bekas jurubank itu kekal dalam kabinet kerajaan, akan ada kesinambungan dasar dan kejelasan terhadap hala tuju dasar fiskal negara.

“Ini bermakna, pendirian kerajaan terhadap dasar fiskal semasa dijangka berkembang kerana ekonomi negara ketika ini masih terjejas akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Semasa tempoh perkhidmatannya, Tengku Zafrul juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memantau pelaksanaan strategi dan langkah-langkah bantuan serta mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang disebabkan oleh COVID-19.

Beliau juga bertanggungjawab bagi Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA).

Mohd Afzanizam berkata, pelantikan semula itu penting terutama ketika negara masih sedang bergelut dengan pandemik sejak tahun lalu.

“Langkah sewajarnya terutama bagi pakej rangsangan yang sesuai dianggap sebagai amat penting bagi memastikan ekonomi Malaysia mampu pulih dengan pantas,” katanya.

Mengulas mengenai portfolio lain, beliau berkata pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan juga adalah satu pilihan baik berikutan rekod prestasi cemerlangnya semasa menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terutama berkaitan program vaksinasi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang sependapat dengan Mohd Afzanizam berkata, pelantikan semula Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan adalah isyarat jelas bahawa beliau telah memperlihatkan prestasi yang cemerlang sebelum ini dan wajar dikekalkan bagi meneruskan proses pemulihan ekonomi yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Pelantikan Khairy sebagai Menteri Kesihatan juga adalah tepat dan kena pada calonnya.

“Saya menilai rakyat menyambut baik pelantikan ini ketika kita memerlukan seorang tenaga muda berkaliber yang mampu mengendalikan pandemik COVID-19 di negara kita tanpa menghiraukan ‘permainan politik’ demi memastikan kesihatan dan keselamatan hidup rakyat terus terjamin,” katanya.

Mohammad Tawfik juga berpandangan bahawa tiada tempoh bulan madu kepada jemaah menteri kerana mereka berdepan dengan cabaran dan halangan getir dalam aspek kesihatan, ekonomi dan politik.

“Jemaah menteri wajib memulihkan keyakinan rakyat dengan kadar segera menerusi strategi baharu yang luar biasa bagi menangani pandemik COVID-19 dan ekonomi.

“Inilah sebenarnya formula penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan utama yang perlu diberi perhatian serta merta oleh kerajaan.

“Bagi saya, Kabinet ini perlu diberi peluang untuk membuktikan mereka mampu melaksanakan tugas lebih drastik dan agresif,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharunya.

Kabinet ini dibentuk selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu yang membawa kepada pelantikan Perdana Menteri baharu.

Selain Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut kekal sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Mustapa Mohamed kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdagangan Menteri (Ekonomi).

Sementara itu, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin telah dilantik sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menggantikan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, manakala Tan Sri Noh Omar dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggantikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo