NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas kesihatan COVID-19 jadi norma baharu di EU

Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang pengenalan "green pass" wajib untuk makan dan hiburan di Milan, pada 24 Julai. Jurugambar: Miguel Medina / AFP melalui Getty Images 
PARIS: Beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) mula mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan COVID-19 terutama varian Delta.

Antara lain, kebanyakan negara mewajibkan penduduknya memiliki Pas Kesihatan untuk akses ke tempat awam dan menjadikan suntikan inokulasi sebagai mandatori bagi pekerjaan tertentu.

Di Perancis, mulai minggu depan, orang ramai perlu menunjukkan Pas Kebersihan atau 'Passe Sanitaire' sebagai bukti sudah menerima vaksinasi lengkap, pulih dari jangkitan COVID-19 dan diuji negatif.

Ia menjadi akses penting untuk memasuki bar, kafe, restoran, gimnasium, kebanyakan pusat beli-belah, rumah penjagaan dan hospital (kecuali kecemasan), menaiki kapal terbang, kereta api jarak jauh atau perkhidmatan bas.

Sejak 21 Julai lalu, Pas Kesihatan itu sudah diwajibkan untuk perhimpunan melebihi 50 orang di tempat kebudayaan dan sosial seperti panggung wayang serta muzium.

Lanjutan penggunaan pas itu dibentang kerajaan, diundi di Parlimen dan menerima 'lampu hijau' dari badan perlembagaan tertinggi negara itu Khamis lalu meskipun wujud kebimbangan ia mungkin menggugat kebebasan peribadi.

Di Itali, kerajaan Khamis lalu meluluskan perintah yang menjadikan Pas Hijau mandatori untuk sekolah, universiti, kakitangan, pelajar universiti dan penumpang jarak jauh menggunakan khidmat penerbangan, kapal, feri atau kereta api.

Pertama kali diperkenalkan pada Jun lalu, Pas Hijau diperlukan bagi kebenaran menghadiri acara awam, akses rumah penjagaan dan bergerak sekitar Itali serta dalam EU bermula 17 Julai.

Perancis dan Itali agak lewat melaksanakan langkah sedemikian bagi mengekang penyebaran virus sebagai langkah alternatif mengelak pelaksanaan sekatan pergerakan yang dialami tahun lalu sewaktu gelombang pertama pandemik.

Pihak berkuasa di kebanyakan negara EU menetapkan hanya pemilik Pas Kesihatan, Pas Hijau, Coronapass atau SafePass boleh memasuki kawasan awam tertutup.

Di Denmark, 'Coronapass' adalah satu kemestian sejak beberapa minggu lalu bagi memasuki restoran, panggung wayang dan gimnasium manakala di Austria, undang-undang sama sudah dikuatkuasa hampir dua bulan.

Di Greece, bermula 16 Julai sehingga hujung musim panas, kemasukan ke tempat tertutup seperti panggung wayang, teater dan bar hanya dibenarkan kepada mereka yang sudah divaksinasi, malah pekerja sektor tertentu juga wajib divaksinasi.

Di Cyprus, sekatan berkaitan dengan akses ke premis tertentu bersambung sejak dilaksanakan awal Julai lalu.

Sejak pertengahan bulan lalu, pemilikan SafePass sebagai syarat wajib untuk melawat semua kawasan sama ada terbuka atau tertutup sekiranya terdapat lebih 20 orang.

Bermula 2 Ogos lalu, individu berumur 12 tahun dan ke atas wajib mempunyai SafePass sebelum memasuki pejabat kerajaan, hospital dan kedai ketika terdapat sepuluh atau lebih orang dalam satu masa, termasuk pekerja.

Langkah sedemikian kini dikuatkuasa secara meluas di seluruh Eropah termasuk mengkehendaki seseorang menerima vaksinasi lengkap sebagai kunci melindungi dan mengelakkan kesan serius akibat COVID-19 termasuk varian Delta.

Pas di setiap negara mengandungi kod QR Sijil COVID Digital EU, yang boleh ditentusahkan di seluruh negara kesatuan itu.

EU sudah mencapai sasarannya untuk mevaksin sekitar 70 peratus penduduk dewasa dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat hujung bulan lalu. - AGENSI"

Sumber asal : BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo