NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakar perubatan bimbang demonstrasi burukkan lagi situasi Covid-19

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pakar perubatan melahirkan kebimbangan bahawa tindakan sesetengah pihak menganjur dan menyertai perhimpunan atau demonstrasi ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19 akan memburukkan lagi situasi pandemik di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ini terutama apabila Lembah Klang kini menjadi kawasan hotspot penularan kes baharu Covid-19.

“Dalam situasi demonstrasi, adalah amat sukar untuk mereka (peserta) mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa, selain terdapat juga kemungkinan mereka akan berkongsi bekas minuman dan lain-lain.

“Jadi, dengan varian baharu Covid-19 seperti Delta yang mudah sekali berjangkit dan terdapat pula pengumpulan ramai di sesuatu tempat, maka boleh berlaku kemungkinan penularan baharu,” katanya pada Sabtu.

Dr Zainal Ariffin berkata demikian sebagai mengulas demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan anak muda Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini, hari ini, kononnya untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan gagal menangani wabak Covid-19 negara.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, berdasarkan statistik setakat Rabu lepas (28 Julai), sebanyak 199 kes varian Delta sudah dilaporkan dalam negara, dengan Sarawak mencatatkan 93 kes, Selangor dan Pahang (masing-masing 18), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Johor masing-masing (11).

“Mengambil kira faktor ini, saya fikir adalah sangat logik untuk pihak berkuasa tidak membenarkan sebarang perkumpulan beramai-ramai.

"Mana-mana pihak yang terlibat ini sepatutnya masih boleh menyuarakan pendapat mereka melalui platform lain yang lebih bersesuaian antaranya melalui penggunaan media sosial," tambahnya.

Sumber : sinarharian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo