Azizulhasni (belakang) mengejar pelumba Britain Jason Kenny (L) pada aksi repechages pusingan ketiga acara pecut di Tokyo 2020, hari ini. - AFP |
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menganggap peluang untuk skuad basikal negara meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih cerah menerusi acara keirin yang bermula Sabtu ini.
Azizulhasni, 33, yang diberi julukan The Pocket Rocketman menjelaskan kegagalannya bersama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut hari ini, boleh memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghadapi acara kegemarannya itu.
Malah, pemenang pingat gangsa Rio 2016 itu turut memberi bayangan bahawa keputusan yang diraih ketika perlumbaan repechages acara pecut di Veledrom Izu itu juga menjadi sebahagian daripada taktikal untuk mereka mempersiapkan diri untuk perlumbaan Sabtu ini.
"Perancangannya kalau tak dapat mengalahkan Jeffrey Hoogland dan untuk repechages kita tidak akan teruskan untuk menang kerana nak simpan tenaga bagi acara keirin.
"Kalau kita menang repechages, kita ke suku akhir dan kita akan jumpa orang sama semula. Kita akan lumba dua kali, kalau kalah kita akan masuk pusingan lima hingga enam, jadi banyak lagi perlumbaan untuk esok dan kita tak boleh rehat.
"Kalau ikutkan memang saya boleh potong (Jason Kenny), dia pun kelihatan penat hari ini (semalam). Tapi kita cuba untuk tidak memotong kerana tidak mahu ke peringkat seterusnya dan kalau kita lihat Kenny pun lepas perlumbaan tadi kepenatan, muntah dan sebagainya.
"Acara pecut ini bukan peluang cerah untuk kita menang pingat, tapi kita sudah maklumkan dahulu bahawa kita akan cuba buat yang terbaik dan kalau boleh ke peringkat tertinggi, itu adalah bonus.
"Tapi kita datang ke sini sudah pasti untuk acara keirin dan perlumbaan yang berbeza berbanding acara pecut," katanya menerusi temubual dengan stesen televisyen Astro Arena.
Dalam perlumbaan hari ini, Azizulhasni terpaksa akur dengan kehebatan Kenny yang juga pemenang emas di Rio 2016 yang menumpaskannya bersama wakil tuan rumah Yuka Wakimoto dalam saingan repechages, sekali gus tidak berjaya ke suku akhir.
Nasib sama menimpa Shah Firdaus apabila dia dan Sam Webster dari New Zealand menjadi mangsa kehebatan Sebastiem Viegier dari Perancis di peringkat sama.
Mengulas mengenai perancangannya untuk acara keirin, Azizulhasni menjelaskan dia memerlukan rehat yang cukup dan mengharapkan dia serta Shah Firdaus dapat mara ke final bagi meningkatkan lagi peluang meraih emas.
"Sudah pasti acara keirin ini adalah peluang tertinggi untuk kita bawa pulang pingat emas dan apa yang saya harap adalah saya dan Shah dapat masuk final.
"Itu langkah pertama dan selepas itu kita tunggu pula apa percaturan daripada jurulatih John Beasley, tapi saya rasa kalau kami berdua ke final saya rasa peluang untuk kita menang emas kemungkinan tinggi," katanya.
- BH
No comments
Post a Comment