Bekas perdana menteri Najib Razak menghuraikan siri “pembohongan” Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah beliau mendakwa ‘ditekan’ kerana enggan melayan desakan untuk campur tangan dalam kes mahkamah individu tertentu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Muhyiddin bukan seorang yang boleh dipercayai dan menyenaraikan tindakan dan kenyataan perdana menteri yang dipertikaikan.
Katanya, antaranya Ordinan Darurat yang diumum sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu, namun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selain jaminan tiada lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, bagaimanapun kerajaan melaksanakan PKP 3.0, termasuk Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
“Dia (Muhyiddin) yang kata darurat amat diperlukan untuk melawan Covid dan bukan untuk kepentingan politik tapi Covid jadi 10 kali lebih teruk. Dia juga yang pernah kata parti PAS adalah parti ajaran sesat yang bawa fatwa songsang.
“Dia yang kata keadaan Covid adalah terkawal dan jamin kerajaan akan berjaya bendung Covid. Dia yang jamin bahawa pertumbuhan ekonomi tahun 2021 akan capai 7% tapi kini sudah dipotong separuh dan rakyat masih menderita selepas 2 bulan 24 hari dikurung sejak PKP 3.0 bermula,” katanya di Facebook.
Najib berkata, Muhyiddin turun di jalan raya untuk membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST), kononnya ianya tidak baik untuk rakyat dan negara, tetapi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula menyifatkan pembatalan GST satu kesilapan besar dan perlu dikembalikan.
“Dia (Muhyiddin) khianat PM5. Dia khianat PM6. Dia khianat PM7. Dia khianat PH (Pakatan Harapan). Kerajaan dia tipu parlimen. Dia derhaka pada YDP Agong dan Raja-raja Melayu. Jadi, nak percaya “statement” dia yang mana?” soalnya.
Najib berkata, terbukti bahawa mereka yang mahu kes mahkamah digugurkan adalah berbuat demikian dengan “membodek” perdana menteri, bukan sebaliknya.
Katanya, perkara itu boleh diajukan kepada bekas menteri PH, Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan beberapa yang lain.
Febuari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap Xavier dan seorang lagi pemimpin PKR berkenaan kes rasuah.
Tidak lama selepas itu, Xavier mengumumkan keluar PKR dan menyokong PN.
Najib turut menegaskan nama seseorang tidak dapat dibersihkan sepenuhnya sekiranya kes digugurkan begitu sahaja.
“Perlu melalui proses perbicaraan penuh dan telus supaya kebenaran-kebenaran boleh muncul,” katanya.
- FMT
No comments
Post a Comment