Dr Shawaludin Husin, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH). Foto : Bernama |
KUALA LUMPUR: Pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di semua negeri, termasuk penerima vaksin COVID-19 wajar ditangguhkan dulu kerana kes jangkitan harian di negara ini masih kekal lima angka.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin, berkata kes jangkitan virus itu dilihat masih lagi tinggi, manakala kadar vaksinasi khususnya di negeri berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga di bawah 50 peratus.
Katanya, kes harian dalam negara masih tinggi iaitu di paras hampir 20,000 dengan kes kategori empat dan lima pada kadar peratusan semakin meningkat sehingga 600 orang sehari.
"Umum mengetahui keadaan fasiliti kesihatan kita juga sudah melebihi tahap maksima dan semalam menyaksikan kadar kematian tertinggi dicatatkan dengan 360 kes. Daripada jumlah itu, 85 kes sebelum tiba di hospital (BID) akibat COVID-19.
"Ketika trend ini sedang meningkat, kualiti perkhidmatan pesakit bukan COVID-19 turut terjejas kerana tumpuan lebih kepada kes berkenaan (COVID-19)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shawaludin berkata, meskipun langkah pelonggaran dikatakan diambil bagi menyeimbangkan impak ekonomi yang merudum, pekerjaan dan perusahaan serta pelaburan yang hilang, namun ia dilihat bakal mengorbankan lebih banyak nyawa.
"Oleh itu adalah wajar untuk kelonggaran ini ditangguhkan dulu dan dasar yang lebih berkesan serta tuntas diperlukan bagi mengatasi perkara ini dengan lebih jelas lagi," katanya.
Mengambil contoh kelonggaran di negeri Fasa Dua PPN, Shawaludin berkata, ia tidak selari dengan data dan angka kerana kes di negeri itu juga mencatatkan kenaikan dan bukannya penurunan.
"Lebih membimbangkan, kelonggaran diberikan ini berisiko untuk lonjakan kes COVID-19 seperti rentas daerah dan 'dine-in' di kedai makan.
"Mereka yang sudah menerima vaksin juga masih boleh saling menjangkiti dan ini sangat berisiko bagi individu yang masih belum divaksin sepenuhnya," katanya.
Beliau juga menyeru pihak korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga menyalurkan bantuan kepada hospital kerajaan, terutama di kawasan Lembah Klang dan negeri lain yang terjejas teruk.
- BH
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment