NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lantik profesional, teknokrat jawatan menteri elak politiking

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain
Oleh Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain

SEBAGAI ahli akademik di universiti seperti komuniti ilmuwan yang lain di institusi pendidikan tinggi (IPT), sudah tentu tertarik dan teruja dengan keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, yang meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta Jumaat lalu.

Menurut kenyataan media dikeluarkan beliau, peletakan jawatan ini mengambil kira keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos, supaya semua menteri UMNO meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Noraini adalah menteri UMNO kedua yang meletakkan jawatan selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah. Kini berbaki lapan lagi menteri UMNO masih dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan Noraini meletakkan jawatan sudah dijangka meskipun beliau dilaporkan berhadapan situasi amat sukar. Sebagai Ketua Wanita UMNO, beliau perlu akur dengan keputusan parti meskipun dengan berat hati meninggalkan tugas di sebuah kementerian yang sangat penting.

Beliau secara jelas mengutamakan parti dan langkahnya turut disokong pemimpin utama UMNO. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada Noraini kerana memilih untuk bersama parti.

Jelas Mohamed Khaled lagi, keputusan berprinsip seperti ini akan menjadi suri teladan dan ikutan yang baik kepada semua Ahli Parlimen UMNO yang masih mendukung PN.

"Adalah tidak wajar untuk terus menyokong kepemimpinan dan kerajaan yang sudah kehilangan kepercayaan dan rasa hormat dari rakyat serta ketiadaan sokongan majoriti," tegas Mohamed Khaled yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi antara 2008 hingga 2013.

Setakat ini, komen netizen membanjiri media sosial, malah poster ucapan terima kasih kepada Noraini mula dikongsi melalui WhatsApp dan platform media sosial lain.

Rata-rata mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi terhadap semua sumbangan Noraini ketika menggalas amanah sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Peletakan jawatan oleh Noraini meninggalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tanpa seorang menteri. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pengumuman seorang menteri yang menggantikan atau menjalankan tugas ditinggalkan Noraini.

Kemungkinan buat masa ini, tugas beliau dipangku Timbalannya, Datuk Dr Mansor Othman, dengan dibantu Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian.

Tugas Menteri Pengajian Tinggi seperti di kementerian lain adalah memimpin kementerian dengan membuat keputusan dan dasar penting berasaskan pembuktian. Mungkin impak ketiadaan menteri kurang dirasai memandangkan universiti khususnya mempunyai autonomi dan boleh membuat keputusan sendiri tanpa banyak merujuk kepada kementerian.

Meskipun begitu, masih banyak harapan diletakkan kepada menteri di KPT selepas ini, agar sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan tepat. Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) selaku sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang melihat soal dasar dan amalan pendidikan tinggi negara misalnya, berharap beberapa perkara penting dilaksanakan.

Menurut Pengerusi PenDaPaT, Prof Datuk Dr Norzaini Azman, lima aspek utama perlu diberikan perhatian:

Pertama, seorang Menteri Pengajian Tinggi perlu seorang yang bersedia untuk memahami dan menguasai ekosistem pendidikan tinggi yang kompleks meliputi universiti awam, IPT swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Lebih-lebih lagi sektor pendidikan tinggi adalah sektor yang agak teknikal dan sangat terkesan dengan perubahan drastik pada peringkat global.

Kedua, sebagai sebuah kementerian yang menjadi pangkalan ilmu yang didukung kepakaran ahli akademik dan penyelidik, dasar kementerian mesti menggunakan dapatan penyelidikan sebagai input atau mengutamakan dasar berasaskan pembuktian.

Dasar yang baik adalah dasar yang dapat memanfaatkan hasil penyelidikan yang sudah pun dibiayai sejumlah dana besar.

Ketiga, aspek kualiti dan kepelbagaian kecemerlangan perlu diraikan dalam konteks IPT. Bukan melihat kepada satu-satu bentuk kecemerlangan yang akhirnya menafikan sumbangan holistik ahli akademik khususnya.

Definisi kecemerlangan perlu diperluas dan diintegrasi meliputi aspek pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu.

Keempat, mengarusperdanakan kebebasan akademik dan keberanian intelek serta menghapuskan budaya politik. Kebebasan akademik (yang boleh dipertanggungjawabkan) dan keberanian intelek sangat penting supaya sumbangan ilmuwan tidak terhalang dalam membina peradaban sebuah bangsa.

Siapakah yang boleh memberi pencerahan kepada masyarakat dan pembuat dasar jika bukan ilmuwan kita di menara ilmu? Budaya politik di kampus yang berleluasa juga jelas memudaratkan institusi ilmu dan perlu dibanteras segera. Tumpuan perlu diberikan kepada nilai teras dan peranan utama institusi akademik.

Kelima, menitik berat aspek merit, integriti dan kewibawaan akademik dan pemimpin institusi yang tinggi. Melalui hal ini, warga IPT akan terus dihormati sekali gus mengekalkan reputasi tinggi KPT.

Berbalik peletakan jawatan menteri UMNO, ia membuka kita kepada persoalan antara kepentingan negara dan kepentingan parti. Sejak menteri UMNO menyertai kerajaan PN, memang diakui mereka dihimpit dua kepentingan berbeza. Apabila seorang menteri itu dilantik, mereka tertakluk kepada keputusan kerajaan khususnya perdana menteri di bawah prinsip kebertanggungjawaban bersama.

Dalam hal ini, seorang menteri tidak boleh mempunyai pandangan peribadi yang bercanggah dengan keputusan Kabinet. Jika berlaku pandangan berbeza, seorang menteri itu hendaklah meletakkan jawatan atau boleh dipecat. Pada masa sama, menteri UMNO perlu akur dengan keputusan parti. Inilah dilema mereka apabila UMNO bukan lagi parti komponen PN.

Noraini memilih bersama parti. Menteri UMNO yang masih dalam kerajaan mendakwa mereka sebenarnya setia bersama parti, cuma menyokong kerajaan PN sehingga sidang Dewan Rakyat diadakan bulan hadapan. Ini bermakna, menteri UMNO yang kekal mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan parti. Mereka tidak mahu meninggalkan tugas diamanahkan terutama dalam saat getir ketika ini.

Mungkin sudah tiba masanya selepas ini, lebih ramai ahli profesional dan teknorat dilantik ke jawatan menteri tertentu bagi mengurangkan politiking. Mereka mungkin tidak mempunyai kekuatan akar umbi seperti ahli politik, tetapi negara lebih memerlukan tenaga dan buah pemikirannya.

Sumber : BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo