Tiada bukti saintifik ketum sebagai penawar penyakit covid-19 |
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, dakwaan ketum boleh merawat pesakit positif Covid-19 mula diperkatakan sejak Mac 2020 oleh segelintir pihak dan tular sehingga ramai pesakit dikatakan mencuba petua berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, ia tidak perlu ditularkan apatah lagi menggesa kerajaan menggunakan ketum untuk merawat pesakit Covid-19.
“Saya andaikan apa yang tular itu sekadar permainan geng ketum yang sengaja mahu menaikkan imej tumbuhan terlarang itu supaya mudah untuk mereka menggunakannya.
“Antara hujah pelik mereka ialah bentuk buah ketum sama dengan virus korona. Kalau inilah asas fikiran mereka, memang kurang cerdik. Kenapa tak dakwa buah durian atau rambutan sama macam virus korona kerana bentuknya lebih kurang sama?” katanya.
Menurutnya, sebagai masyarakat yang berilmu kita perlu mempunyai hujah apabila menzahirkan sesuatu dakwaan, bukan melihat dari aspek mata kasar dan terus mendakwa bahan itu boleh merawat itu dan ini.
“Ia perlu dibuktikan melalui penerokaan dan kajian. Ini yang diterapkan oleh agama kita sebagai orang yang berfikir dan mengkaji akan sebab dan akibat sesuatu itu berlaku,” katanya.
Dr Suhazeli menjelaskan, terdapat beberapa kajian yang telah dibuat untuk merawat Covid-19 dan disiarkan dalam pelaporan jurnal, namun kesemuanya tiada keputusan konklusif.
“Saya ada membaca artikel dari Indonesia yang mendakwa ketum boleh merawat Covid-19 namun artikel itu berbentuk andaian semata-mata, bukan penulisan kajian. Boleh saya katakan ia hanya khayalan.
“Virus Covid-19 baru setahun lebih menyerang dunia, mereka sudah dakwa macam-macam. Saya pertikai bilakah mereka dapatkan sampel kajian? Bila metodologi kajian diluluskan? Itu pun sudah nampak tak betul dakwaan itu,” katanya.
Sebaliknya, tegas beliau, kajian mendapati pesakit yang mengambil ketum atau bahan terlarang boleh mendatangkan mudarat lebih teruk berbanding orang lain.
“Ini kerana bahan aktif mitraginin dalam ketum itu diletakkan di bawah kategori dadah berbahaya yang boleh merosakkan mental,” ujar Dr Suhazeli.
Sehubungan itu, kata beliau, kita tidak perlu melayan permintaan pihak tertentu yang belum pasti kesahihannya.
“Elok-elok pesakit duduk di pusat kuarantin, tiba-tiba semua jadi khayal akibat minum ketum. Dah jadi masalah lain pula, letih pula pasukan barisan hadapan nak layan ‘mat ketum’.
“Sudahlah pesakit dalam wad kritikal perlukan perhatian penuh tanpa gangguan, tiba-tiba nak layan pula permintaan yang belum pasti,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial sekeping gambar yang menunjukkan rakyat dari negara jiran minum ketum untuk merawat Covid-19.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mengeluarkan satu poster yang menjelaskan bahawa penggunaan ketum merupakan satu mitos dan tiada bukti saintifik ataupun kajian makmal yang membuktikan air ketum mampu melawan Covid-19.
Selain itu, tiada laporan yang mengatakan ia mampu menghalang virus malah pokok ketum mengandungi bahan-bahan psikoaktif dan euforia yang boleh menyebabkan ketagihan
- Sinarharian
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Saya tengok yang mana positif covid ni amalkan minum air ketum semuanya jadi sembuh semula. Ini dapat dibuktikan bahawa air ketum sememangnya penawar segala penyakit jika kita tidak memyalahgunakan.
ReplyDeleteSaya tengok yang mana positif covid ni amalkan minum air ketum semuanya jadi sembuh semula. Ini dapat dibuktikan bahawa air ketum sememangnya penawar segala penyakit jika kita tidak memyalahgunakan.
ReplyDelete