NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan umum kemudahan bagi individu terima vaksin lengkap, bermula selasa


TEKS UCAPAN

YAB PERDANA MENTERI

KEMUDAHAN-KEMUDAHAN BAGI INDIVIDU YANG TELAH MENERIMA VAKSINASI LENGKAP

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1.Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari semua berada dalam keadaan sihat walafiat. Insya-Allah

2.Pada 15 Jun 2021, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dengan teratur dan sistematik, dari kemelut pandemik COVID-19. Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.

3.Alhamdulillah dalam masa dua bulan sahaja, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bersama lapan buah negeri lagi telah berjaya beralih keluar dari Fasa 1 PPN. Bermula 4 Ogos 2021, Perlis, Sarawak dan WP Labuan telah melangkah ke Fasa 3 PPN manakala enam lagi negeri telah pun berada di Fasa 2. Ini menunjukkan sebenarnya usaha pemulihan sedang berjalan seperti yang dirancang.

4.Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat dan kerajaan negeri Perlis, Sarawak serta Labuan atas kejayaan beralih ke Fasa

3. Namun demikian, jangan kita mudah lupa dan terleka. Saya berharap agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan dapat dipatuhi sebaik mungkin dan semua usaha menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

5.Kepada negeri negeri yang masih belum beralih ke fasa seterusnya, kita tingkatkan usaha dan ikhtiar supaya dapat bergerak ke fasa seterusnya dengan selamat.

6.Sekali lagi ingin saya ingatkan, jangan kita mudah merasa selesa. Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan cabaran varian-varian baharu yang lebih ganas seperti varian Delta. Kadar penularan jangkitan varian-varian ini begitu cepat, jauh lebih pantas dari vairian-varian awal setahun lalu.

7.Lihat sahajalah kes-kes yang dilaporkan di media dan yang dikongsikan di dalam group Whatsapp keluarga, rakan-rakan sekolah, di mana ada dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat kita yang dijangkiti. Bilangan kes harian sekarang ini sudah menjangkaui 20,000 kes dan bilangan kes aktif adalah lebih 200,000 kes. Namun, jika kita perhalusi, bilangan kes positif harian bagi Kategori 1 dan 2 masih di paras 96 hingga 98 peratus daripada keseluruhan kes.

8.Seperti yang sering saya terangkan, antara strategi kerajaan dalam menguruskan pandemik ini adalah memastikan sebanyak mungkin populasi di Malaysia divaksinasi.

9.Lebih ramai yang menerima suntikan vaksinasi lengkap, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan yang lebih teruk, beban kepada sistem kesihatan awam akan berkurang dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang dapat dibuka secara berperingkat, dan kita dapat keluar dari pandemik ini dengan lebih teratur dan selamat.

10.Bagi memastikan suntikan vaksinasi diberikan secepat dan sebanyak mungkin, terutamanya dengan kehadiran varian-varian baharu yang lebih ganas, kerajaan telah menggerakkan seluruh jentera kerajaan dan bekerjasama dengan pihak swasta serta badan bukan Kerajaan dalam satu pendekatan "whole of nation".

11.Analogi mudahnya ialah apabila seseorang itu menerima dos suntikan vaksinasi yang lengkap, seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan 'askar' atau antibodi bagi melawan 'musuh' iaitu kuman atau penyakit. Jika 'musuh' datang menyerang tetapi, baru kita mahu melatih 'askar' berperang, ia sudah agak terlambat kerana tubuh mungkin terpaksa berdepan dengan kesan yang teruk akibat jangkitan itu. Oleh itu, vaksinasi memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan penyakit berbahaya dan di dalam hal ini virus Covid-19

12.Alhamdulillah, berkat kerjasama kita bersama, usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi atau "ramping-up" the vaccination rate sudah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan. Terbukti rakyat menyahut panggilan dan menyambut baik seruan kerajaan ini untuk menerima vaksinasi.

13.Dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di bandar-bandar, ke PPV mobile di desa dan perkampungan orang asli, di PPV pandu lalu untuk OKU, dan di PPV kecil kerjasama dengan klinik swasta, berjuta-juta rakyat Malaysia telah keluar menerima suntikan vaksinasi COVID-19. Ada juga NGO yang membantu memberi suntikan vaksinasi untuk warga emas yang uzur di rumah mereka.

14.Sememangnya, sejak pelancaran rasmi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari 2021 dan sehingga 6 Ogos 2021, sebanyak

23.6 juta suntikan dos vaksinasi telah diberikan di Malaysia. Seramai 15.35 juta (65.6%) individu dewasa telah menerima dos pertama vaksin dan 8.25 juta (35.3%) individu dewasa pula telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Sejak 12 Julai 2021, kadar vaksinasi harian telah mencecah lebih 400,000 dos hampir setiap hari dan buat pertama kalinya melepasi paras 500,000 dos pada 22 Julai 2021.

15.Walaupun pada awalnya ramai yang meragui kemampuan kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi, namun berkat usaha semua, kita berjaya membuktikan kemampuan kita walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan awal termasuk menstabilkan bekalan vaksin dari syarikat pengeluar.

16.Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) YB Khairy Jamaluddin turut mengumumkan sasaran kerajaan pada hujung bulan ini ataupun sasaran Hari Kebangsaan 2021 ialah mencapai 50 peratus kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di Malaysia.

17.Pencapaian Malaysia dalam usaha memberi vaksinasi di negara ini turut mendapat pujian dan pengiktirafan negara-negara luar dan badan-badan antarabangsa.

18.Sebagai Perdana Menteri, saya sering menekankan di dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan mesyuarat- mesyuarat kerajaan bahawa tiga aspek utama yang harus diberikan perhatian dalam kita menguruskan pandemik iaitu:

a.Pertama: Kesihatan dan Keselamatan Rakyat;

b.Kedua: Ekonomi Rakyat dan Kelangsungan Perniagaan;

i.Aspek pertama dan kedua sering kita sebut sebagai mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup; dan

c.Ketiga: Kesejahteraan Rakyat dalam konteks norma sosial, termasuk kesihatan mental dan emosi rakyat.

19.Aspek ketiga ini sama penting dengan aspek kesihatan dan ekonomi. Hari ini ramai antara kita yang terkesan secara langsung dan tidak langsung akibat pandemik ini. Bukan sahaja lebih ramai keluarga dan kenalan kita yang dijangkiti dan mungkin ada yang terkorban, malah kehidupan norma harian kita juga terganggu.

20.Ada di antara kita yang tidak boleh pergi bekerja dan bersosial, ada yang punca pendapatan berkurangan, kehabisan simpanan, dan ada yang sudah tidak tahan duduk berkurung di rumah. Saya faham, ramai yang sudah letih dengan pandemik ini atau berhadapan dengan kelesuan pandemik (pandemic fatigue).

21.Mengambil kira maklumbalas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini, Kerajaan bersedia memberikan kemudahan kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

22.Keputusan ini dibuat dengan sangat berhati-hati dan ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang digunapakai di seluruh dunia.

23.Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

a.Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

b.Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke- 28 dari tarikh suntikan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

24.Keputusan pemberian kemudahan ini semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian. Namun, Kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan- kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.

25.Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus.

26.Dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas. Situasi ini menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas di fasa 2 PICK yang dilaksanakan sejak 19 April 2021 telah mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan.

27.Begitu juga bagi petugas-petugas KKM yang telah menerima vaksin COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari 2021. Seramai 246,242 petugas telah menerima vaksinasi lengkap dan didapati hanya 4,635 (1.88%) dijangkiti COVID-19. Daripada jumlah kes positif tersebut, 4,625 (99.78%) hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala. Manakala hanya 7 kes (0.15%) adalah kategori 3 dan 3 kes (0.06%) adalah kategori 4. Tiada dalam kalangan mereka yang mengalami jangkitan COVID-19 kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan.

28.Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan KUARANTIN dan PERJALANAN untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara.
a.Kemudahan-kemudahan yang dimaksud secara amnya adalah seperti berikut:

i.Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, DIBENARKAN menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

ii.Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

iii.Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

29.Saya juga amat memahami permintaan saudara dan saudari untuk kembali menunaikan solat di masjid dan surau. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja DIBENARKAN di masjid dan surau bagi Jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap. Kemudahan ini juga terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara

a.Pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

b.Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat MESTI menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

c.Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.

d.Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam.

Saudara dan Saudari sekalian,

30.Kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan-kemudahan bagi SEKTOR SOSIAL kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.
31.Kemudahan-kemudahan tersebut secara amnya adalah seperti berikut:
a.Rentas daerah DIBENARKAN

i.Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah MESTI menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

b.Aktiviti dine-In DIBENARKAN

i.Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan COVID-19.

ii.Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dine- in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka.

iii.Saya juga ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. Kita faham bahawa risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

iv.Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

v.Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.

c.Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) DIBENARKAN

i.Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

ii.Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah DIBENARKAN selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

iii.Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah TIDAK DIBENARKAN. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

iv.Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

d.Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama DIBENARKAN melibatkan homestay dan hotel.

i.Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

32.Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada SELASA, 10 OGOS 2021. Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

33.Kemudahan-kemudahan SEKTOR EKONOMI sedang dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan saya umumkan dalam waktu terdekat.

Saudara saudari yang saya kasihi,

34.Kemudahan-kemudahan ini bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan SOP- SOP yang telah ditetapkan. Kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus COVID-19.

35.Saya telah mengarahkan YB Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19, memastikan kementerian-kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan- kemudahan yang diberikan.

36.Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, MESTILAH BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

37.Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak Kerajaan dan masyarakat. Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini.

38.Dalam pada kemudahan-kemudahan ini diberikan, Kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan yang tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas.

39.Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan.

40.Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.

41.Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini. Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan Kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah Kita Menang Bersama.

42.Sekian, Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

YAB TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
8 OGOS 2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo