Oleh Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin dan Muhamad Arif Asnawi bin Mat Zaki
SEPERTI mana yang kita maklum, Negara kita Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Inilah acuan dan sistem yang digunakan oleh Negara kita sejak mencapai kemerdekaan.
Kewujudan Parlimen membuktikan Malaysia mempunyai kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan perwakilan yang dipilih bagi menganggotai Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi merealisasikan aspirasi rakyat.
Ahli Dewan Rakyat sebagaimana yang diketahui merupakan Ahli Parlimen yang dilantik melalui pilihan raya. Mereka diundi oleh rakyat sebagai wakil untuk menjaga kebajikan mereka.
Ahli Dewan Negara pula yang digelar sebagai Senator, mereka berperanan dalam membahaskan rang undang–undang membincangkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan umum Negara.
Walaupun Ahli Dewan Negara tidak dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya, namun dikatakan kebanyakan ahli senator terdiri daripada ahli parti pemerintah.
Oleh yang demikian, sebagai rakyat kita bertanggungjawab dalam memilih wakil dalam kalangan masyarakat yang paling layak bagi mengisi kedudukan tersebut agar Badan Perundangan Negara dapat berfungsi dengan signifikan, efektif serta memelihara kepentingan warganegara dengan baik. Pendek kata, wakil rakyat berkhidmat untuk membela nasib rakyat.
Namun, hari ini sikap serta pendirian berbolak balik sebahagian pemimpin yang dilantik telah menyebabkan kerajaan yang dibina atas nilai kesepakatan berubah. Kemelut politik yang berlaku bukannya sekali, tetapi kita telah dikejutkan sebanyak dua kali dalam tempoh sepenggal pemerintahan.
Selain mencemarkan sistem demokrasi yang diamalkan setelah sekian lama, sikap yang dipaparkan oleh sebahagian ahli politik kini seolah-olah tidak lagi berkhidmat untuk membela nasib rakyat tetapi untuk menyelamatkan periuk nasi masing-masing.
Budaya politik tidak sihat ini perlu dihakis sebelum membarah dan memberi kesan yang lebih teruk. Rakyat perlu sedar, kita sebenarnya memerlukan pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada Negara dan bukanlah individu yang hanya pandai bersembang lebat tanpa sebarang hasil.
Cukuplah menaikkan individu yang tidak kompeten dan hanya melalak di parlimen tanpa menyelesaikan masalah rakyat.
Persoalan yang sentiasa berlegar di minda dan menjadi kerisauan di jiwa kita, berapa kalikah kerajaan atau pemerintahan perlu bertukar sehingga ianya stabil dan menemui kesempurnaan?
Imbau Kembali Pemerintahan Era Gemilang
Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin agung sepanjang zaman. Ketokohan dan keunggulan keperibadian baginda tidak dapat ditandingi.
Perkara ini bukanlah diangkat dan disanjung oleh masyarakat Islam sahaja. Baginda juga diangkat oleh Barat kerana Baginda bukan sahaja pemimpin untuk bangsa Arab, namun seluruh makhluk yang wujud di alam ini.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”. (Surah al-Anbiya’, ayat 107).
Baginda memiliki peribadi pemimpin yang unggul buat keluarga, masyarakat dan Negara serta menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan dengan mengsinergikan keperluan di dunia dan akhirat. Pendek kata, riwayat hidup Baginda merupakan “Blue Print” terbaik untuk kita teladani.
Kesempurnaan diri disertakan dengan pemerintahan yang adil dan bersistematik Baginda telah melahirkan bukan sahaja era gemilang bahkan tamadun yang terkuat dan terbesar serta menggoncangkan dunia.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi semasa pemerintahan Baginda bukanlah fantasi dan cerita dongeng. Jika disingkap kembali lipatan sirah, Baginda sentiasa melakukan perancangan yang teliti dalam membuat apa jua keputusan dengan mengambil kira kesan buruk dan baik.
Kesannya lahirlah pemerintahan seterusnya yang mana terserlah beberapa kerajaan awal yang hebat seperti Umaiyyah, Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah dalam memimpin rakyat sehingga berjaya menguasai dunia dan melahirkan tokoh pelbagai bidang umpama saintis terkemuka, ahli falsafah, doktor perubatan dan banyak lagi.
Pemimpin Berjiwa Besar
Kunci kejayaan sesebuah pemerintahan adalah seperti politik yang kuat dan stabil, ekonomi yang mampan serta ketenteraan yang kuat, namun kesemua elemen ini perlu dipasakkan dengan roh keimanan.
Semangat bersatu padu sesama pemimpin dan rakyat adalah sangat penting kerana ia merupakan tunjang utama kepada kekuatan sesebuah pemerintahan. Kedua-dua komponen memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Negara yang aman damai.
Seorang pemimpin perlu mengurus tadbir dengan berhikmah menjaga sensitiviti rakyat di bawahnya tidak kira latar belakang agama, bangsa, ekonomi dan sebagainya. Inilah kualiti dan sikap yang perlu diketengahkan.
Berbeza dengan hari ini, lebih menyedihkan apabila terdapat figura politik sendiri yang menunggang isu dan menjadi batu api bagi memecah belahkan rakyat dengan menyerang parti lawan. Maka, hilanglah sikap semak dan imbang dalam sesebuat pentadbiran.
Setiap usul dan cadangan perlu dibincangkan bersama oleh semua pihak dengan cara yang terbaik. Sekiranya terdapat masalah yang timbul, perundingan bagi mencari titik temu solusi perlu dibudayakan.
Para pemimpin Negara hari ini harus mencontohi zaman kegemilangan terdahulu sebagai model rujukan serta mengambil iktibar terhadap punca kejatuhan sesebuah empayar dengan penuh rendah hati dan muhasabah diri.
Tatkala Negara kita masih diuji dengan pandemik COVID-19 yang belum berakhir, pemimpin perlulah bersatu hati dan kurangkan bersengketa sesama sendiri.
Jawatan dan pangkat yang diberikan bukanlah satu kemuliaan, namun ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoal di akhirat kelak.
Kepada semua pemimpin rakyat, berkhidmatlah dengan sebaiknya agar Malaysia kekal utuh, stabil dan kita sebagai rakyat terus hidup dengan harmoni, aman dan damai.
Rakyat Malaysia juga bakal menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan atau Kemedekaan kali ke-64 pada 31 Ogos 2021.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment